Monday, January 11, 2010

Ikhlasnya Gen - Y


Menulis dari hati, melakar dari hati, memberi dari hati. Segala-galanya perlu datang dari hati. Dua hari yang lepas saya ringan tangan mengingatkan sahabat-sahabat supaya sanggup dan menyanggupkan diri untuk menerima amanah membawa kebaikan.


Dalam keringanan tangan ini, saya terlupa tentang keberatan hati orang-orang yang akan menerima tersebut. Saya mudah dan ringan berkata-kata kerana apa? Kerana saya belum merasai pahit pedihnya bebanan amanah itu.


Manakah yang lebih utama? Kepentingan sendiri atau kepentingan orang ramaikah? Saya ingin membuka minda bukan kepada orang-orang yang ditekan dan ditanya buat kali ini. Saya ingin dan amat-amat mahu mereka-mereka yang banyak mengatur, meminta dan merencana itu untuk turut sama merasai pahit pedihnya amanah itu.


Mulut mudah mengatur bicara, hati mudah menentu jalan buat orang lain, tangan senang menekan sms 'arahan', minda ligat membuat polisi itu dan ini. Tapi teman, pernahkah teman merasai sendiri bicara sendiri? Pernahkah teman menyedut sendiri penentuan sendiri? pernahkah teman mengambil rasa empati dalam membuat arahan? pernahkah teman melihat kewajaran polisi itu dan ini dari sudut pandang yang luas mengambil kira kemampuan pelaksana dan kepentingan umum untuk sesebuah matlamat?


Membuat teori dan perancangan tidak seindah dan semudah melaksana teori dan menilai kembali sesuatu idea dan perancangan tersebut.


Dikatakan tangan yang memberi lebih baik dari yang menerima. Tapi, kalau tangan yang memberi tidak dengan hati yang ikhlas dan merakyat, tidak mustahil tangan yang menerima juga kurang ikhlasnya dalam menerima amanah kepemimpinan!


Menurut kajian United Nation, generasi yang lahir selepas 1980-an adalah generasi-Y atau pun lebih terkenal dengan gelaran Gen-Y. Salah satu sifat Gen-Y ini adalah mereka tidak akan komited dengan sesuatu melainkan mereka telah memahami betul-betul sesuatu perkara tersebut.


Dalam kita mendepani mad'u dan sahabat-sahabat bahkan dalam mendepani diri kita sendiri sebagai Gen-Y, adalah perlu sebuah kerasionalan dan sebuah 'rasa' diberi buat pemahaman Gen-Y ini. Dengan pemahaman inilah Gen-Y ini akan mampu bergerak laju merangka dan melaksana buah-buah kepemimpinan idealis laksana Baginda Nabi.


Namun, sekadar memahami tanpa disusuli ikhlas dan amal (gerakkerja tersusun), kita ibarat seorang pembaca buku yang hebat, tapi gagal membaca masyarakat sekeliling. Mampu memahami isu dan topik perbincangan tanpa mampu merasai pahit manis masyarakat sekeliling.


Berbagai tema dan motto boleh dibuat. Namun adakah realitinya tema dan motto itu dibumikan kedalam akhlak dan gerak kerja kita sehari-harian. " Hidup Biar Bermakna Menuju ALLAH", manifestasinya dimana? Blog pun jarang dikemaskinikan, hati pun kurang terjaga, ulangkaji pelajaran pun tiada kesungguhan, dimana maknanya sebuah perjalanan menuju ALLAH ini?


Hidup Biar Berjasa sebagai contoh satu lagi tema yang boleh difikirkan bersama. Adakah semata-mata motto yang dipalukan tanpa adanya ruang untuk hati, minda, jiwa, jasmani dan semangat kita memberikan MASA, RASA dan JASA kepada agama ALLAH?


Bercakap semua orang boleh bercakap. Menggoreng semua orang boleh menggoreng. Tapi sebelum bercakap menjelaskan kekalutan, pastikanlah pendirian dan kenal pasti isu tersebut berpandukan Quran dan Sunnah. Jangan semata-mata mahu menjuarai isu ummah, kita terleka dan terlupa yang kita sudah menari mengikut alunan nyanyian musuh.



Kegopohan kita menunjukkan kemenangan golongan-golongan munafik dalam memalu gendang dan menulis skrip sebuah kemenangan munafik yang mana kita adalah pelakon-pelakon tambahan tanpa berbayar pelengkap sebuah filem " Kalimah ALLAH, berhakkah mereka? ".


Teman, fahami isu, telusuri sirah Baginda, fahami al-Quran dan Sunnah, pelajari Fiqh Islami, pasti isu ini kita fahami secara menyeluruh, bukan sekadar tahu bercakap menggoreng isu kesana-sini sehingga hangit kulit ayam dibakar, sedang isinya tiada bermasak, dagingnya pejal tetaplah kaku!

Lama tidak menulis,tersipu melihat istiqamahnya mentor saya Ustaz Hasrizal dalam menulis memberi masa rasa dan jasa buat pemahaman ummah, memberi pencerahan minda, bukan sekadar menjuarai isu dan membuta tuli.

Katanya teman saya, Sharif Ahmad, itulah masalah bila buta isu. Penjelasan saya, melihat isu dari skrip musuh-musuh ALLAH, lalu menari mengikut petikan kecapi mereka, membuat kita hilang pertimbangan sunnatullah dan syariatullah. Hilang minda da'ie dan dakwah dalam diri kita, lalu menuding jari mempersalah golongan HAK untuk membawa gambaran sebenar bahawasanya Islam itu indah dan mudah. Inilah mereka-mereka yang termakan gula-gula munafik dalam membuat isu untuk dijuarai sendiri.

Banyakkan merenung, banyakkan bermusafir melihat Islam diluar Malaysia, bukan sekadar melihat dan mengamalkan Islam dari kerangka MELAYU semata-mata. Fahami isu, pelajari ilmu, teladani Rasulullah, tingkatkan jihad kelimuan, teruskan bekerja dengan kefahaman.

Jika kefahaman belum bersuluh, terangi dengan banyakkan pembacaan secara merujuk, bukan sekadar menjadi Ustaz Google yang segala-galanya ilmu datang dari internet. Internet memang ruang ilmu yang luas, tapi kerangka ilmu yang asas perlu diperkukuh terlebih dahulu, barulah FAQIH dan KOMPETEN kita rasai bersama.

Ilmu tanpa amal, ibarat pohon tiada berbuah. Ilmu tanpa faham ibarat Kakak Tua yang hanya tahu berkata-kata, Ilmu dan amal tanpa Ikhlas... habis sirna segala jasa. Ikhlasnya gen-Y jika dapat memberi MASA, RASA dan JASA kepada semua golongan.

Moga Istiqamah.

Abu Fateh,
25200 Kuantan.

No comments:

Masa Itu Nyawa