Tuesday, January 26, 2010

Cinta Itu Ada Buktinya - Kisah Halus



Kisah menarik suka saya kongsikan bersama sekalian teman ziarah. Semalam adalah hari peperiksaan pertengahan semestar buat pelajar tahun kedua fakulti saya. Peperiksaan adalah perkara biasa buat mereka yang sudah membuat persediaan awal. Namun, ada satu peristiwa menarik Iman saya berlaku di awal pagi peperiksaan semalam.

Seperti sudah saya nyatakan dalam entri sebelum ini yang ringkas menyatakan rentak emas yang telah kembali saya temui dan serasikan kembali dengan diri ini. Mungkin peristiwa awal pagi semalam ada kaitannya dengan hidup saya selepas mendapat kembali EMAS tersebut.

Seperti biasa, tidur malam peperiksaan mestilah tidur awal. (Hmmm, kunci jam dulu. Harap-harap bangun awal macam biasa insyaALLAH).

Detik berlalu, kipas terus berpusing, jam sudah menunjukkan angka 1 pagi. Mata masih belum boleh terlelap. Ya ALLAH, bukan boleh study dah pun masa ni. Mata tak ngantuk lah pulak. Saya mengurangkan kelajuan kipas, memperlahankan suara muzik alam pengulit tidur.

Kipas tetap berpusing, jam terus berdetik waktu. Jam sudah menunjukkan jam 2.30 pagi. Mata masih belum boleh terlelap. Saya menukar selimut yang lebih nipis buat menyejukkan badan yang tiba-tiba berpeluh. Mengambil tasbih digital buat berzikir mengulit tidur. Teringat Syekh Nuruddin al-Banjari pernah pesan supaya banyakkan berzikir kalau tak dapat tidur. Sebab syaitan tak suka kita berzikir, jadi syaitan akan usaha buat kita mudah mengantuk.

Habis posisi dipusingkan badan. Namun badan dan mata masih belum mahu tidur. Akhirnya menutup terus nasyid dan muzik ringan pengulit tidur. Akhirnya saya tertidur dan sempat melihat jam sudah menunjukkan angka 3 pagi lebih.

Baru sejam tidur, saya terjaga lagi. Melihat jam dalam lebih kurang 4.30 pagi. Suatu benda yang agak pelik berlaku. Saya melihat Handbook of Oxford Clinical Medicine saya yang terletak diatas meja belajar tiba-tiba bergerak ke arah kaki saya tanpa ada orang yang mengangkatnya. Saya sudah merasakan sesuatu yang tidak enak dihati.

Memberanikan diri menendang Handbook of Oxford Clinical Medicine yang dilihat semakin menghampiri kaki saya tanpa ada orang yang membawanya. Terasa sekali ada tubuh yang memegang buku tersebut kerana tendangan saya mengenai batang tubuh yang tidak dapat dilihat. Kecut seketika hati ini. Lalu tiba-tiba merasakan diri tidak dapat bernafas dan tidak bersuara serta bergerak.

Ah, sah dah. Kena tindih lagi. Itulah pertama saya buat tahun kedua di Kuantan ini ditindih makhluk halus lagi. Terus saya buat tak tahu dan tertidur lagi.

Bangun lewat pagi semalam kerana tidur yang cukup-cukup terganggu dan tidak cukup. Saya membuat analisa diri. Apa puncanya makhluk tu nak tindih aku lagi? Dah lama dah aku tak kena tindih. Di Kuantan ni rasanya baru dua tiga kali kena. Tak macam di Darul Quran yang memang hampir tiap-tiap bulan berperang nak bangun subuh. Natijahnya saya bangun mewakafkan diri di masjid setiap malam supaya tidak terlepas subuh dan boleh fokus kepada al-Quran yang dihafal.

Di UIA PJ pula suasananya cukup berbeza kerana hampir setiap hari saya diusik dan ditindih makhluk halus ini. Hari pertama memasuki tingkat 4 UKC1 pun sudah cukup membuatkan hati saya gelisah dan panas tak tentu arah. Istilah keras saya abaikan sahaja kerana memangnya bangunan-bangunan yang saya huni semua itu dibuat daripada batu. Memang keras pun!

Banyak cerita-cerita pelik mula saya dengar dan kutip tentang UIA PJ. Saya abaikan semuanya dan fokus kepada mengejar cita dan menjaga amanah al-Quran.

Teringat kisah seorang teman saya, Ilham yang pernah menceritakan dia akan di uji makhluk-makhluk ini bila kita telah ada azam untuk berubah, telah mula berubah, telah mula mempunyai satu zikir khusus untuk pertahanan diri kita. Ah, tak perlulah saya ceritakan disini kerana semuanya memerlukan kekuatan hati dan iman untuk berkongsi cerita-cerita pelik ini.

Berbalik kepada kisah saya pagi semalam. Baru teringat, rupanya betullah kata Ilham. Kerana saya telah mendapatkan kembali rentak EMAS yang cukup-cukup susah dan berat dimata orang awam. Kerana itulah saya yakin makhluk itu kembali menguji dan cuba mengusik ketahanan mental saya terhadap rentak EMAS ini kembali.

Apakah rentak EMAS itu? Carilah dalam diri dan Iman anda masing-masing. Kita semua mempunyai rentak EMAS kita yang tersendiri yang jarang kita terokai dan pegang secara betul-betul.

Bukan soal rentak EMAS yang ingin saya kongsikan kali ini. Soalnya, kita perlu menyedari persoalan hubungan kita dengan ALLAH dan hubungan kita dengan manusia. Jika kita telah mempunyai azam untuk berubah, pasti azam kita itu diuji. Jika kita telah mempunyai tahu, mahu, dan mampu menuju perubahan, pasti lebih besar ujian makhluk itu akan menguji, mengacau dan memacu emosi kita kearah kejahatan yang pelbagai.

Setiap orang ada tahapan berbeza. Lain tahapnya, lain ujian dihantar ALLAH. Rendah iman kita, mungkin askar Syaitan biasa yang dihantar Raja Iblis untuk menguji dan menggoda kita. Tinggi iman kita, mungkin pangkat Jeneral pula Syaitan yang turun mengacau kita.




Tapi jangan lupa. Syaitan itu ada dalam dua rupa. Jin dan manusia. Kita boleh rujuk tafsiran surah an-Nas, surah ke 114 dalam al-Quran. Hidup ini takkan sunyi dari ujian syaitan dari kalangan jin dan manusia. Kalau syurga itu dikatakan mahal, apakah harganya? ALLAH telah berjual beli dengan kita sekalian orang-orang mukmin akan Syurga ini dengan nilaian tubuh badan, jiwa raga, dan seluruh harta benda kita untuk mendapatkan Syurga ini. (rujuk surah at-Taubah ayat 111).

Mahalnya harga Syurga...nak jual dengan segala nilaian yang ada pada diri kita, jasad, jiwa, harta dan segalanya-galanya milik kita harganya Syurga? Sanggup ke kita korbankan semua itu untuk dapatkan Syurga ALLAH?

Untuk kahwin pun kita sanggup korbankan segala-galanya. Demi si dia yang 'tercinta' kita sanggup berhabis duit, berjaga malam, bertanya khabar dan bermacam-macam 'ber' lagi kita korbankan. Jadi, takkan Syurga barang dagangan ALLAH itu dijual murah-murah?. Orang bercinta ada buktinya. Orang berkahwin ada tanda hatinya.

Inikan pula soal bercinta dengan ALLAH. Pasti dan pasti memerlukan bukti yang jelas dari segenap tubuh dan jiwa kita terhadap agama kita ini. Perlu ke cinta kepada ALLAH? Kalaulah ini persoalan yang ditimbulkan, saya suka menimbulkan kembali satu persoalan, kita hidup ini diatas bumi kita ke bumi ALLAH yang punya? Kita bernafas ini udara ALLAH ke udara kita yang punya? Kita makan ini mulut ALLAH yang punya ke kita yang beli?

Setiap orang bercinta ada pembuktiannya. Orang menghafal al-Quran usah bicara soal cinta ALLAH jika bacaan al-Quran sehari masih belum mencecah angka satu juzuk. Kata Imam Fadhil bin 'Iyadh, usah bicara soal cinta ALLAH jika kita belum cinta akan Kalamullah..

Al-Quran itu kalamullah, yakni kata-kata ALLAH. Kalau orang bercinta, sudah pasti surat-surat cinta, pesanan-pesanan ringkas si dia sungguh sukar dipadam dan dilupuskan. Itu adat cinta manusia dengan manusia. Inikan pula cinta dengan ALLAH, kalau surat-surat cinta dari ALLAH melalui kalam-Nya, al-Quran belum terpahat rapi didalam jiwa dan peribadi seorang mukmin, usah bicara soal cinta ALLAH!

Pendapat ini mungkin keras, tapi inilah yang selayaknya. Habis tu, macammana nak jawab kalau orang tanya tentang cinta kita kepada ALLAH? Adab orang belajar, kata 'ulama; diamkanlah diri kita. Jangan dijawab kita tidak cinta kepada ALLAH kerana itu boleh merosakkan akidah. Jangan berani membuta dijawab kita cinta akan ALLAH kerana setiap kata cinta itu memerlukan pembuktian dan bakal dipertanggungjawabkan. Bersederhana dan merendahlah dalam bergaul. Tanamkan tekad dihati untuk cintakan ALLAH walaupun kita semua insan berdosa!

Cinta itu ada buktinya... Itulah sebabnya kita diciptakan ALLAH. Tanda dan bukti ALLAH sangat sayang dan cintakan hamba-hambaNya. Hanya hamba-hambanya sahaja yang angkuh membalas cinta dengan keji dan dosa kepada ALLAH pencipta kita.

ALLAH, ampunkanlah dosa hamba-hamba Mu yang angkuh dan engkar ini. Tunjuk dan permudahkanlah jalan-jalan buat hamba-hamba Mu ini membuktikan kembali cinta kami kepada-Mu..

Ya Wadud.. Ya Rahimm.. Ya Ghofur.. Ya Rahman... irhamna ya ALLAH..



Abu Fateh,
25200 Kuantan,
Bilik Abe,
Sedang di Uji..

2 comments:

lailafillah said...

salam..satu kisah yang secara tak langsung dpt menyedarkan org lain..jazakaAllah.

AnjeRuby a.k.a Kak Abell said...

takutnya...ana lame dah x kene serangan ni. masa dq dulu, every week kena. kalau boleh, xmau kene dah....skrg ni, masalah kat kuantan ni, sangat takut kalau bangun 3-4am, pergi tandas amik wudhuk. takut dgn manusia yg suka mencuri pd waktu EMAS tersebut....tp gagahi juga n cepat2 ambil wudhuk =(

Masa Itu Nyawa