Sunday, January 3, 2010

Catatan Awal Tahun


Salam tahun baru masihi 2010.


Hampir seminggu jua rupanya saya mendiamkan tangan dari menulis. Menatap buku-buku didalam bilik yang hari ke hari mendesak diri ini untuk membaca dan dihabiskannya satu persatu.


Dilihat di atas almari, ada 10 jenis al-Quran (Indeks al-Quran, tulisan tangan, 3 al-Quran kecil, 3 tafsir Quran, dan ..) Namun yang dibaca? ALLAH sahaja yang tahu teruknya diri. Apakah ianya sekadar hiasan?


Setiap hari mengambil 5 muka surat dari 5 buah buku yang berbeza. Mengharap perbezaan paradigma menuju hati yang rendah diri. Namun, bagaikan hilang idea ditengah kecamuk buku-buku yang pelbagai.


Benarlah kata Pak Hamka, ada kalanya manusia bungkus idea kerana terlalu banyak buku yang dibaca tanpa ada ruang untuk pengamalan apa yang dibaca. Memperjalankan ilmu adalah punca utama datangnya idea bernas dan berkat.

Cuba menenangkan diri dengan merendahkan diri sedalam lautan dalam. Memendam diri supaya nanti hasilnya mutiara hati kan bersinar. Hati resah? Cubalah solat. Dah solatlah bang, tak tenang pun. Cuba baca Quran. Emm.. alhamdulillah. Terima kasih diri.


Kalau adunan buku-buku yang dibaca sekarang adalah Medical Surgical Nursing (Black & Hawk), Kerana Cinta Harus Memilih (Borhan Sodiq), Jalan Dakwah: Antara Qiyadah dan Jundiyah (Mustafa Masyhur), Angkatan Baru (HAMKA), dan The 7 Habits of Highly Effective People (Stephen R. Covey) masih belum serasa motivasi diri terangkat, dimana silapnya?


Bukan silap cara bacaan, bukan silap adunan yang pelbagai. Silapnya tiada bahan asas 'basic and fundamental reading'. Apa itu? Bacalah apa-apa dan hebat macammana sekalipun, kalau al-Quran tak dibaca dan direnung, hati pasti tak tenang dan gelisah selalu. Hati pasti selalu merasa tak cukup dengan apa yang ada dan pasti 'sombong diri' sukar ditundukkan.


Memahami al-Quran sebagai satu buku teks panduan tatacara kehidupan bukanlah perkara susah jika kita sedar kita adalah hamba yang berada dalam tempoh FINAL EXAM dengan ALLAH yang mahu melihat manakah antara hamba-Nya yang paling berTAQWA?


Definisi TAQWA adalah tinggal apa yang ALLAH larang dan buat apa yang ALLAH suruh. Kalau CEMERLANG definisi mudahnya ialah sebuah kejayaan setelah kita berpenat lelah belajar dan meninggalkan apa yang kita 'sukai' dan buat apa yang kita 'tidak suka' semata-mata demi sebuah kecemerlangan, demikianlah jua makna sebuah KECEMERLANGAN seorang Muslim ialah dengan membuat apa yang ALLAH sukai dan meninggalkan apa yang ALLAH benci walau benda itu bertentangan dengan kehendak diri kita.


Apa hal nak lawan kehendak diri sendiri? Takke zalim namanya tu? Zalim ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Saya merasa zalim jika saya memukul orang gaji saya tanpa sebab. Namun, zalimkah saya jika memukul anak saya secara 'berhalus' dengan tujuan untuk mengajar dan mengingatkannya?


Demikian juga hubungan kita dengan ALLAH sebagai tuan kita. Pemilik kita. Zalimkah ALLAH jika dia menghukum kita kerana keangkuhan dan kesombongan kita untuk mengambil al-Quran sebagai buku teks kehidupan ini? Sedangkan kita adalah hamba-Nya..


Yang sememangnya zalim biasanya adalah kita. Setiap titis darah dan sedutan oksigen yang kita hirup ini adalah pemberian percuma dari ALLAH kepada kita hamba-hamba-Nya tanda kasih dan sayang-Nya. Namun, perintah kebaikan dan larangan dari melakukan keburukan (pun untuk kebaikan kita) tetap tidak kita patuhi.


Melihat dunia dari kaca mata berbeza. Jangan terlalu cepat menghukum sebelum memahami. Ada seorang Pengurus syarikat bernama Ahmad. Suatu hari Ahmad membuat lawatan kerja ke tempat projek syarikatnya lalu didapati tiada seorang pembantunya ditempat kejadian.


Malam kejadian, tanpa soal selidik, tanpa budi bicara, terus Ahmad menyerang pembantunya. " Nape ko tak datang jamuan Amal tadi Dol? Takkan buat kerja part-time (cegah maksiat dimalam tahun baru) pun dah takleh attend program sendiri Dol? Ko tuh orang penting dalam syarikat ni. Kalau orang lain tak datang aku tak kisah sangat lagi. "


Ayat 'offensive' dari seorang ketua syarikat yang tidak matang dalam menggauli seluruh lapisan organisasi secara berhemah. Jika anda di tempat Dol apakah perasaan dan tindakan anda? Fikir-fikirkan.



Tapi ALLAH bukan begitu. Bukan seperti Ahmad seorang ketua yang tiada reti menunjukkan kasih sayang. ALLAH tak pernah marah pada kita walaupun kita jahil. ALLAH tak pernah marah pada kita walaupun kita lawan Nabi, lawan orang-orang berjuang ajaran Nabi. ALLAH tak pernah marah kita walaupun kita terlalu obses dengan persatuan yang kita ikuti dan dalam masa yang sama kita menghina ataupun memandang rendah dan serong pada organisasi jemaah Islam agama ALLAH!


Kita yang tak mengenang budi mahu ALLAH mengingat kita dikala susah. Oh..alahai hamba..


Haih..(keluhan berisi renungan) :)

No comments:

Masa Itu Nyawa