Monday, October 12, 2009

Wasiat Abbas kepada anaknya Abdullah mengenai ‘rahsia’.




Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila datang sesorang bercakap sesuatu perkara, setelah orang itu beredar maka perkara yang dicakapkan itu menjadi amanah.”


Amanah itu bererti wajib dijaga dengan sempurna. Hanya perkara yang baik sahaja yang boleh diceritakan kepada pihak lain, supaya perkara yang makruf itu kian tersebar serta menaikkan nama baiknya dipandangan masyarakat.


Sementara perkara yang buruk wajib ditutup dan dilindungi daripada diketahui umum sebagai amanah. Dengan cara begitu keaibannya tidak diketahui umum dan keburukannya tersekat daripada merebak.


Adapun orang yang duduk semajlis dengan kita adalah amanah, semestinya banyak perkara dan hal ehwal peribadinya yang diketahui mengenai kawan semajlis itu.


Justeru, mengenai perkara buruk itu mesti dijaga sepenuhnya, melindungi ehwal semajlis hendaklah berlaku secara timbal balik antara mereka.


Seseorang ditanya; bagaimanakah menjaga rahsia seseorang, sedangkan tidak pernah didengar cerita buruk terbit daripada lisannya? Orang itu menjawab: “Sesungguhnya dadaku adalah kubur bagi rahsia seseorang.”


Sebagaimana kubur tidak pernah memuntahkan mayat yang bersemadi di dalamnya, begitu juga apabila seseorang bercakap pelbagai perkara kepadanya.


Hakikatnya dia datang hendak semadikan rahsia diri terkubur rapi di dadanya. Rahsianya mohon dilindungi.


Kerana dia yakin bahawa saudaranya adalah bilik kebal yang selamat bagi menyimpan rahsianya, sesungguhnya dada bagi orang baik-baik itu adalah kubur yang selamat bagi segala rahsia.


Untuk mengenal pasti baik buruknya seseorang itu, ialah sama ada rahsia kawannya tersimpan rapi atau terbongkar bersepah merata melalui lisannya.


Berkata Saidina Abbas kepada Abdullah anaknya: “Sesungguhnya telah kuperhatikan bahawa Saiyidina Umar dalam majlis besar apabila hendak minta pendapat, seringkali dia mendapatkan kamu lebih dahulu. Oleh itu aku hendak berpesan lima perkara kepadamu:


Pertama, jangan buka rahsia ketua (Umar); kedua, apabila berada di dalam majlisnya jangan sekali kali bercerita tentang keburukan orang lain. Ketiga, jangan diketahuinya yang engkau pernah berdusta walaupun kepada orang lain. Keempat, jangan sesekali derhaka kepada perintahnya. Kelima, jangan sampai dia tahu yang kamu khianat.”


Seorang alim besar bernama Sya’bi ketika mengulas nasihat Abbas kepada Abdullah itu, bahawa setiap perkara yang dipesan oleh Abbas layak dibayar seribu dinar, kerana inilah pesanan yang boleh menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.


Setengah dari tanggungjawab lidah ialah senyap dari bertengkar dan bertelagah dari setiap perkara diucap oleh kawanmu, ertinya jangan cepat mencelah dan mengganggu orang sedang bercakap.


Abdullah bin Abbas radiallahu’anhuma berkata: “Kamu jangan berbincang dengan orang bodoh (safih), kerana dia hanya akan menyusahkan kamu, apa yang kita kata walaupun baik tidak akan didengarnya, kerana dia tiada kemahiran menilai perkara baik lantaran kesafihannya.”


Jangan berbalah dengan orang yang perangai dan tutur kata lemah lembut (halim), kerana dia pun akan marah juga. Akibatnya akan merugikan kerana kehilangan seorang halim yang sepatutnya menjadi sahabatnya.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “ Sesiapa yang tidak berbalah dengan rakannya yang bercakap perkara tidak berguna (mubtilun), di akhirat kelak ALLAH SWT peruntukkan kepadanya sebuah mahligai di dalam syurga.


Sesiapa yang tidak bertengkar meskipun dirinya di pihak yang benar (muhiqqun), di akhirat kelak ALLAH SWT cadangkan baginya sebuah mahligai dibahagian atas syurga.


Pengajaran mustahak daripada hadis tersebut ialah supaya menghindari perbalahan dan pertengkaran. Sebaliknya dianjurkan supaya bersoal jawab sebagai bertukar fikiran dan nasihat, seseorang kemuka pendapatnya untuk kebaikan bersama.


Tetapi berbalah iaitu bertegang urat kerana menegakkan benang basah, jelas ia tidak disetujui oleh agama. Kerana asas perbalahan ialah memperlekeh pendapat orang lain disamping hendak menaikkan dirinya.


Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Meninggalkan perbalahan dalam situasi sedar dirinya salah (mubtilun) adalah wajib (fardu). ALLAH SWT menjanjikan syurga baginya.”


Apabila seseorang sedar dirinya dipihak yang salah, langkah bijak yang perlu diambil ialah senyap untuk elak perbalahan. Sikap tersebut amat terpuji hingga ALLAH SWT menjanjikan syurga untuknya.


Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Sesiapa yang mengelak daripada perbalahan sedang dirinya dipihak yang benar, semestinya derita jiwanya lebih parah daripada berdiam diri di atas perkara yang salah. Untuknya dibinakan mahligai di puncak syurga.”


Sesungguhnya terlalu menderita jiwa orang yang menahan lidah kerana mengelak daripada perbalahan dan pertengkaran, sedangkan dia di pihak yang benar dan mampu berdebat dengan mengemukakan hujjah dan dalil.


Justeru beban derita jiwa yang ditanggung itu tidak sia-sia, mampu mengelak daripada berbalah dianggap berjaya menahan sesuatu, meskipun jiwanya parah demi mentaati larangan ALLAH SWT.


Sebagai imbalan atas kejayaan itu, anugerah Tuhan iaitu pahala yang banyak dan mahligai mewah dipuncak syurga sedia menantinya di akhirat kelak. Oleh itu elak daripada perbalahan, digalak pula memberi nasihat dengan hujah dan dalil.


*Kalam murabbi, Pulau Melaka.

2 comments:

Ikha Zul said...

Salam,

Kali ni pun saya nak copy n paste :)

terima kasih

Mohd Nuruddin Bin Mohamed said...

silakan berkongsi hikmah.

Memang artikel ni sungguh menyejukkan diri saya jua.

Ini kalam mauidzhoh dari Tok Guru ayah Ziz (Tok Guru Nik Aziz)

Masa Itu Nyawa