Monday, October 12, 2009

Tahukah Anda Oktober Ini Bulan Bahasa?

Petikan dari tehranifaisal.blogspot.com, (http://tehranifaisal.blogspot.com/2009/10/tahukah-anda-oktober-ini-bulan-bahasa.html), Insert link tidak berfungsi. Maaf
Sumber asal di suaramalaysia.net

OKTOBER ini diisytiharkan oleh kerajaan Malaysia sebagai bulan bahasa kebangsaan. Tahukah saudara Oktober ini bulan bahasa? Jawabnya, sebahagian besar dari kita - tidak tahu.

Mengapa? Saya akan beritahu mengapa, tetapi sebelum itu marilah kita memahami dahulu apa gerangannya bulan bahasa itu.

Ekoran keputusan kerajaan untuk menobatkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, maka semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan pun diarah untuk melaksanakan manca program bahasa sepanjang bulan ini. Arahan itu datangnya daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi arahan ini bukan main-main sifatnya.

Apa yang moleknya pada bulan bahasa? Moleknya terletak pada usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran seluruh masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai satu bahasa atau 1bahasa untuk mencapai perpaduan serta bahasa komunikasi.

Oleh kerana itu menurut Timbalan Perdana Menteri lagi, kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan dirancakkan lagi sepanjang bulan ini (Oktober) supaya penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat akan melata.

Sejajar dengan menumbuhkan minat menggunakan bahasa kebangsaan itu, maka kerajaan juga akan mulai memperkenalkan Anugerah Tokoh Ilmuwan Negara iaitu sebagai satu pengiktirafan kepada ilmuwan negara yang memberikan komitmen dalam usaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa kemajuan dan bahasa budaya tinggi. Maka bolehlah orang GAPENA, Dewan Bahasa dan Pustaka dan persatuan-persatuan penulis melobi mulai sekarang. Kalau mengidam anugerah tetapi tidak melobi tentu tidak menjadi. Saya bukan perli tetapi ini memanglah realiti, malah saya sudah dapat mengagak dari sekarang siapa yang akan menyandang anugerah tersebut buat kali pertama (kalau dia masih hidup dan panjang umur sampai tahun depan). Tetapi biarlah tekaan tersebut saya simpan dalam hati sahaja dulu.

Yang paling muluk tentang bulan bahasa ini ialah keyakinan Tan Sri Muhyiddin terhadap keupayaan Bahasa Malaysia/Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Paling kecil, beliau telah memansuhkan PPSMI (walaupun sebenarnya lambat lagi nak menjadi gara-gara ‘soft landing’) kerana keyakinan kepada sistem pendidikan mestilah berteraskan bahasa kebangsaan.

Ketika merasmikan bulan bahasa, Tan Sri Muhyiddin di Kuching, beliau bermadah yang, "Persepsi bahawa bahasa kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan merupakan tanggapan yang meleset."

Sebenarnya, ramai tidak tahu bulan ini bulan bahasa kebangsaan. Justeru usaha kerajaan tadi bolehlah dianggap kurang berkesan. Malah meleset.

Begini, hari ini sudah 8 Oktober, saya meragui yang bulan ini akan dipenuhi dengan aktiviti kebahasaan di agensi kerajaan mahupun di pelbagai kementerian. Birokrasilah katakan. Macamlah ada perancangan dalam badan kerajaan yang dapat dibuat ‘sekelip mata’. Di peringkat swasta, jangan harap langsunglah


Ragu saya itu semakin berasas kerana selama ini saya perhatikan tidak ramai menteri yang menyambut usaha dan upaya Timbalan Perdana Menteri untuk memartabatkan bahasa kebangsaan ini. Kalau bertutur mereka lebih selesa berbahasa Inggeris, termasuklah ‘yang satu itu’ (fahamkan siapa!). Rasa semacam Tan Sri Muhyiddin bekerja seorang diri dalam menyemarakkan bahasa Melayu. Saya mahu rasanya menawar diri menolong beliau, tetapi iyalah…siapa saya! Nak mementaskan teater di Dewan Bahasa dan Pustaka dinafikan, jadi serba tak kena. Dan saya tiada kuasa lobi, justeru memang tak terpandang dek Timbalan Perdana Menteri.

Jadi memanglah Tan Sri Muhyiddin bekerja seorang-seorang diri. Kalau Tan Sri membaca kolum ini (atau pembantu khas, setiausaha sulit, setiausaha politiknya ada menatap bait-bait artikel ini – dengan tulus hati – saya nak tolong Tan Sri.)

Jadi saya kira yang berbahasa hanyalah bulan. Orang belum tentu berbahasa.

Mengapa orang tidak peduli bulan ini bulan bahasa?

Sebabnya mudah:




Semalam, saya sempat merewang di Sungei Wang untuk membelanjakan wang yang ada dalam poket. Saya terserempak dengan seorang peniaga menjual barang mainan, berbangsa Cina (macamlah ada bangsa lain di Sungei Wang) yang boleh bertutur dalam bahasa Arab meskipun berkarat dan tidaklah selaju air ibarat fasihnya dee-jay IKIM.FM, Mona Jasman. Cukup dan memadailah bahasa Arab beliau itu untuk meraih minat seorang pelancong Arab yang bertubuh besar dan berjanggut panjang untuk membelikan anaknya helikopter dengan alat kawalannya sekali.

Setelah urus-niaga berjalan, saya pun bertanya kepada peniaga Cina tersebut bagaimana beliau boleh berbahasa Arab? Siapa yang mengajar? Susahkah mempelajarinya?

Beliau mendedahkan, ya, bukanlah rahsia, kerana wang semuanya jadi. Oleh kerana bahasa Arab sudah menjadi semacam bahasa yang penting untuk Cina itu berniaga maka dia harus boleh bercakap sepatah dua. Dan Cina itu memberitahu saya, ‘yang dia tak pandai berbahasa Melayu’ kerana sekolah tidak tinggi.

Saya pernah ke Beijing, di sebuah pusat membeli belah peniaga Cina tersebut boleh berbahasa Melayu, membilang angka dalam bahasa kebangsaan dengan baik sedangkan beliau bukan Cina Malaysia, bukan ahli parlimen (katakanlah DAP), beliau hanyalah peniaga langsir. Tetapi kerana ramainya pengunjung Melayu, mak cik-pak cik yang ditaja oleh Ketua Bahagian untuk jalan-jalan membeli belah di Beijing, mereka yakni peniaga Cina tersebut dengan sendiri berinisiatif untuk berbahasa Melayu.

Contoh klasik ialah peniaga Arab, Afghan dan Bangladesh di kota suci Mekah dan Madinah yang fasih berbahasa Melayu. Sebab apa? Sebab bahasa Melayu adalah bahasa jual beli dengan jemaah kita yang terkenal kaki joli.

Bahasa Melayu kalau hendak jadi bahasa kebangsaan yang gagah dan bermartabat, haruslah diberikan sisi komersialismenya. Jadikan ia bahasa perniagaan, bahasa jual-beli seperti mana di zaman Kesultanan Melayu Melaka lama dahulu.

Dengan itu nanti, bukan sahaja bulan bahasa akan menjadi laku; kedudukan aktiviti kebahasaan dan persuratan tak payah dibulankan, dengan sendiri akan rancak bersemarak. Orang akan mencari sendiri karya sastera kita, orang akan meluru membaca khazanah tradisi kita dalam bahasa Melayu. Dan dengan sendirinya bahasa kita akan dipandang bermaruah di mata dunia, di mata 1Dunia. Tidaklah kalau ke Paris untuk menjual nama negara kita kepada UNESCO akan bertutur dalam bahasa penjajah iaitu Inggeris (sedangkan orang Perancis haram hendak berbahasa Inggeris dan tetaplah pongpangpongpang berbahasa Perancis).

Soalnya, adakah komitmen politik sejauh itu?

Tan Sri Muhyiddinlah seorang diri.

Jadi, saya ragu. Bulan sahajalah yang berbahasa.

Manusianya, belum lagilah nampaknya

-faisal tehrani, 12 Oktober 2009-

No comments:

Masa Itu Nyawa