Thursday, October 8, 2009

Nota Buat 'Si Manis' Yang Ku Rindu



Assalamualaikum wahai hati..
Suara hati buat diri yang selalu melukakan hati ramai orang.

Selama ini saya selalu dan biasa bertandang ke bilik teman-teman untuk berbicara, berbincang, berkongsi masalah. Berkongsi rasa kononnya. Pernah suatu ketika di bumi Kuala Kubu Bharu dahulu, saya memulakan langkah dan azam yang jitu tak tergugah.

Namun tabiat suka berziarah ke bilik rakan selepas tamat sesi belajar malam atau bahasa budak sekolahnya ‘prep time’ tetap menjadi pilihan dan kebiasaan saya yang baru pertama kali hidup berjauhan dari keluarga dan hidup di asrama.

Lebih-lebih lagi di asrama hijau putih (kini dihuni banat sahaja) menghadap masjid yang hanya kami pelajar persijilan generasi ke-5, lelaki sahaja yang menjadi penghuni asrama yang penuh sejarah dan cerita suka dukanya itu.

'Study', belajar, menghafal , mengulang, menulis mushaf, membaca bahan-bahan ilmiah yang bukan akademik. Memang masjid atau pustakalah rumah kedua saya. Hasilnya Alhamdulillah diri ini berjaya dinobatkan sebagai pelajar terbaik untuk setiap sem. Sedangkan dulu diri ini hanyalah pelajar paling tak guna sewaktu disekolah Maahad, pelajar paling diingati cikgu kerana gagalnya yang istiqamah didalam pelajaran.

Saya lebih dikenali guru berbanding pelajar-pelajar cemerlang yang mendapat semua A didalam peperiksaan. Malu sekali mengingat saat itu. Apa pun memang di sekolah Maahad cikgu lebih mudah mengingati nama pelajar yang kurang cemerlang kerana ramainya pelajar cemerlang. Lebih-lebih lagi pelajar macam saya yang suka buat muka ‘innocent’ ini.

Namun tabiat itu (berziarah ke bilik rakan selepas tamat sesi belajar malam) telah saya tamatkan dan hapuskan dari kamus hidup ini di sem pertama apabila saya mula mengetahui bahawasanya kedatangan saya ke bilik teman-teman rapat saya telah mengganggu ketenteraman ahli biliknya yang lain.

Ini lebih-lebih lagi saya merasakannya bila saya sendiri mendapat tamu yang merupakan teman kepada ahli bilik saya. Saya cukup-cukup terganggu dengan tabiat buruk saya sendiri. Lalu saya menghentikan tabiat yang sememangnya tidak patut diamal mau pun dimulakan ini. Mula mengfokuskan diri kepada target dan tujuan saya datang ke tempat pengajian ini.

Alhamdulillah, saya berjaya membuatkan Ummi tersenyum lebar tanpa henti di hari konvokesyen anaknya yang pertama ini walaupun hari saya mendapat keputusan SPM dahulu, Ummi cuma sekadar menahan air mata kekecewaan di atas kegagalan anaknya yang kononnya baik dimata dia. (moga ALLAH betul-betul menjadikan saya anak yang soleh kepada ummi dan abah).

Saya menjadi pemata hati ummi yang sungguh-sungguh saya rasakan masa itu tak pernah saya melihat ummi dan abah begitu gembira dan girang dengan kejayaan seorang anak. Lebih-lebih lagi kerana program persijilan adalah tempat berkumpulnya pelajar-pelajar terbaik SPM dari seluruh negara. Lebih bermakna bila ada teman yang merupakan pelajar terbaik Kelantan mengucapkan tahniah kerana berjaya menjadi yang terbaik diantara yang terbaik. Namun, ada kisah duka dan tangis disebalik kejayaan yang bagi saya bagaikan tiada maknanya itu.

Saya menangis kerana kejayaan di atas kertas tak sama dengan kejayaan mempertahan dan mengamalkan suruh perintah ALLAH di dalam kitab yang saya hafal ini. Kejayaan di dewan kuliah tiada nilainya langsung di sisi ALLAH tanpa di iringi satu perjuangan membenarkan apa yang saya pelajari dan saya hafali di tempat pengajian. Saya menangisi nasib diri yang masih tak tentu hala di hadapan. Entah syurga entah neraka.

Saya menyesali kejayaan kerana kejayaan itu tidak mampu dirasai oleh semua teman-teman. Ada sahabat rapat saya yang gagal, malah terpaksa ‘balik awal’ tanpa sempat menghabiskan pengajiannya. Sedangkan dialah teman rapat saya bermujahadah setiap malam. Teman rapat saya bermain diwaktu petang-petang. Teman yang mengajar saya erti kesabaran.

Yang lalu tetap berlalu. Usah ditangisi susu yang telah tumpah. Walaupun tumpahnya ke atas papan kekunci tempat tangan ini menari mengolek hikmah.

Berada di Kuantan saya cuba untuk menjadi diri yang seperti di Kuala Kubu Bharu dahulu dengan harapan mampu memberi sesuatu buat ummat. Mampu mewakafkan diri ini dijalan yang dahulu saya menolak untuk bersama dengannya kerana kejahilan dan titik-titik hitam dari kisah silam di Maahad.

Sudah seminggu saya diserang demam dan rasa pening kerana cuba untuk mengubah sistem putaran waktu biologi badan ini kembali kepada normal supaya tidur malam. Namun masih gagal dan terus gagal. Moga penyakit ini tidak seteruk di Petaling Jaya dahulu yang mengakibatkan saya tidak boleh tidur malam dua minggu secara berterusan.

Dalam cuba merehatkan badan dan melunakkan jiwa supaya tidur awal ini, biasanya pasti saya terjaga selepas terlelap selama satu atau dua jam. Kemudian mata ini sudah tidak mengantuk langsung sehinggalah ke pukul 11 pagi esok paginya barulah mata ini betul-betul penat dan tidak bermaya. Digagahkan untuk fokus pun pasti tertidur kerana penatnya badan. Ditambah lagi demam yang menimpa.

Tapi tadi saya hampir-hampir berjaya tidur malam kerana rasa mengantuk yang bertandang terus langsung dilayan dibawa ke bantal. Namun, riuh rendah di dalam bilik mengejutkan saya. Oh, baru sejam rupanya aku tidur.. Sahabat-sahabat rapat sibuk membincangkan persiapan hari terbuka UIA Kuantan 2009 (I-Quest ‘09). Puas saya cuba menidurkan diri dan memekakkan telinga supaya diri ini boleh tidur.

Hampir setengah jam berusaha, rupanya mata ini sudah tidak boleh tidur langsung. Marah dan sedih kepada suasana sekeliling pun ada. Emosi baru bangun tidur memang tidak stabil. Termenung 10 minit. Lantas mencapai skrin ‘desktop’, menekan punat on. Menaipkan kembali peristiwa-peristiwa yang berlaku.

Ingin marah kepada teman? Sebenarnya marah kepada diri sendiri yang rupa-rupanya masih terbiasa dengan tabiat (berziarah ke bilik rakan selepas tamat sesi belajar malam) sehingga lewat malam. Rupanya ALLAH mahu menegur diri ini dengan cara yang sebegitu halus. Mendatangkan kembali apa yang telah saya perbuat kepada orang lain supaya saya menilai baik buruknya perbuatan saya dahulu.

ALLAHUAKBAR..Engkau Maha Adil, Maha Memberi Pembalasan, Maha Memberi Petunjuk. Teruskanlah menegur aku mengikut acuan tarbiyah-Mu ya ALLAH.. Indahnya tarbiyah-Mu ya ALLAH.




Teringat detik diri yang di ‘pulau’kan sahabat-sahabat 4 tahun yang lalu. Sehingga hanya jin-jin dan suara halus dari dalam diri ini cuba untuk bersahabat dan kadang-kadang mengacau ketenangan hati ini. Memang benar jin-jin itu cuba untuk mendekati sehingga saya bagaikan hilang arah dan terkadang menangis keseorangan tanpa sebab.

Pernah saya menangis tanpa sebab, tanpa sedih, tapi rasa takut tanpa sebab menimpa diri. Rasa bagai diri ini dikawal oleh 'benda' lain. Lalu menelefon ummi teresak-esak meminta didoakan anak yang tidak stabil dan sedang diganggu jiwa ruhaninya ini. Suara ummi sedikit memberi kekuatan untuk melawan gangguan halus tersebut. Alhamdulillah. Walaupun begitu, sudah lama saya tidak berziarah ke Darul Quran, bumi Kiri Kanan Bukit katanya Ustaz Razali. Mudir tersayang pelajar-pelajar dan seluruh warga Kuala Kubu Bharu.

Mujur disaat itu masih ada teman yang sudi menasihati dan meneguh diri seperti Wan Safwan, Izzat, Zaki, dan Syamil. Memang jin cuba untuk mendekati diri ini juga tarbiyah dari-Nya supaya saya tidak menyisihkan diri dari kelompok perjuangan Islam. Manisnya saat kepahitan itu bila dikenang. Ramai yang berkonfrontasi, namun nasihat Zool Amali kepada saya cukup memberi secubit kembali ketenangan. “Sabarlah din, usah di kisah apa orang nak buat apa orang nak kata. Pasti manis menanti din di hujung nanti..”

Memang berat tarbiyah ALLAH, namun untuk memikul beban yang berat ini, selayaknya ALLAH mentarbiyah diri ini sebegini.

Moga manis ini tidak hilang dengan penyakit putus asa. Moga manis sebenar kan saya dan teman ziarah sekalian kecapi jua di akhir nanti.. di akhirat nanti. Manis menatap wajah Ilahi dalam rindu berteman asyik dan cinta kepada ALLAH!

No comments:

Masa Itu Nyawa