Thursday, September 10, 2009

Berani : Seulas rasa, buah hikmah dari ladang Hamka



Salam al-Kelantani, 20 Ramadan 1430 H, 10 September 2009

Berani berjaya, berjaya!. Berani berjuang, syahid!. Berani i'tikaf, pahala melebihi seribu bulan!.

Semalam sungguh dingin dan tenang. Serasa ada ketenangan yang lain dari malam-malam yang lain dibulan barakah ini. Apakah telah berlalu malam al-Qadar? Saya biarkan persoalan itu bermain dalam ketidakpastian. Kerana hikmah ketidakpastian itu sungguh mengujakan jiwa untuk berusaha. (Seperti dihuraikan Ustaz Hasrizal dalam blognya saifulislam.com tentang hikmah ketidakpastian)

Apakah erti berani?

Dengan keberanian menempuh kesukaran, orang hendak memperhatikan kesanggupan kita. Orang hendak melihat peribadi kita.

Socrates mengatakan: "Diri itu adalah seperti negara, dan negara adalah seperti diri. Bahkan, diri adalah negara dan negara adalah diri."

Mencari kemenangan bukanlah perkara mudah; kejayaan bukanlah perkara kecil. Sebab itu belajarlah dan beranikanlah diri tertawa pada waktu "kematian angin", seperti tertawa sewaktu dihembus angin. Beranilah dan kumpulkanlah kekuatan pada waktu gagal untuk tegak dan melompat sekali lagi, dengan lompat yang lebih keras, sehingga orang yang tadinya tertawa melihat kita jatuh bertukar menjadi takjub.
-renungan buat adik-adik tahun pertama kulliyyah kejururawatan UIA-

Tidaklah bernama berani orang yang sentiasa mengadukan nasibnya kepada orang lain. Sebab cita-cita dan pengharapan pada zaman hadapan, dan keyakinan akan menang, itulah perkara yang menguatkan ruh insan untuk terus berjalan. Itulah yang membesarkan himmah. Apalagi jika perjuangan itu diselenggarakan dengan akal, dengan hati dan dengan tangan. (monolog buat nuruddin dan teman ziarah yang budiman)

Mengakui kekurangan diri adalah tangga buat kesempurnaan diri. Berusaha terus mengisi kekurangan itu adalah keberanian luar biasa. Merasa cukup adalah alamat tidak cukup. (muhasabah buat diri)

Barang siapa tidak sanggup atau tidak berani menguasai dirinya, jangan harap dia akan sanggup menguasai orang lain. Bukan keberanian kalau sanggup berkelahi dengan harimau, tapi keberanian ialah kesanggupan berkelahi dengan kehendak nafsu.


Ayuh kita naik setingkat lagi.

Sudahkah kita berani memberi maaf musuh kita? Sudahkah kita berani menghapuskan dari hati kita perasaan dendam, kerana kesalahan teman kepada diri kita?

"Membalas baik dengan jahat adalah perangai yang serendah-rendahnya."

Membalas jahat dengan jahat, bukanlah perikemanusiaan.

Membalas baik dengan baik adalah hal yang biasa.

Tetapi membalas jahat dengan baik adalah cita-cita kemanusiaan yang setinggi-tingginya. Kita harus sanggup hidup memberi cita-cita itu tumbuh."

Memang sakit rasanya jiwa kita sendiri tatkala membalas kejahatan dengan kebaikan. Dalam batin kita amat hebat perjuangan nafsu jahat dengan budi yang mulia. Nafsu membayangkan penderitaan kita kerana kesalahannya, kerugian kita kerana aniayanya.

Dibayangkan pula bahawa pembalasan adalah hal yang pantas dan hal yang patut. Tetapi budi kita yang mulia membayangkan lawannya, iaitu kepuasan hati kerana kemenangan budi, kerana memberi maaf, kerana menolong orang lain, dan lagi kepuasan hati bilamana kerana ketinggian budi kita, kita dapat membuat musuh besar menjadi teman yang karib dan setia.

Hebat perjuangan dalam batin. Kita mesti berani!

Pembakar jiwa dari kalam Bapak Hamka. Karya Peribadi.


Kita memang berani mati untuk mendapatkan 4.0 GPA @ Distinction. Tapi begini juakah berani matinya kita mencintai ALLAH?

Moga sekalian teman hebat jua berani dalam perjuangan meraih akhirat . Motivasi buat diri dan sekalian teman ziarah yang budiman.

Karya-karya Habiburahman dengan mega-mega cintanya dan karya-karya Faisal Tehrani dengan nilai sasteranya yang tinggi begitu cepat kita hadamkannya. Tapi kata-kata ALLAH? Moga kita berani jua untuk mencintai kalamullah yang Agung ini!



penyair Iqbal berkata :

"Umur bukan ukuran tahun
Akal bukan ukuran tubuh
Sehari hidup singa di rimba
Seratus tahun bagi si domba."


Zenki,
25200 Kuantan.

1 comment:

Kembara Sufi said...

move to the next step ~
motivasi yang paling berkesan adalah motivasi dari dalam diri sendiri

Masa Itu Nyawa