Sunday, September 27, 2009

Etika Bercakap Dengan Kekasih


Salam al-Kelantani, 9 Syawal 1430 H, 28 September 2009

"Abang, abang dengar tak ni?" Rengek sang kekasih yang sah bernama Isteri. "Iye dengar, dengar. Kenapa ya ayang?" Jawab sang suami sambil tangan asyik dengan telefon bimbit memetik pesanan ringkas sambil mata melilau ke kiri dan kanan.

"Abang ni tak sayang kat ayang lah!" Pendek sang isteri membuat solusi. Rajuk yang mahu dipujuk. " Ish, apahal pulak ni? abang dengar lah." Suami cuba mempertahankan diri.

" Habis tuh, kalau betul-betul sayang, mesti abang akan hadapkan muka dan cuba nak dengar betul-betul apa yang ayang nak sampaikan ni." Tukas si isteri. ("gulp..") termangu si suami di buatnya.

Asas komunikasi yang sering dilupakan

Situasi di atas merupakan salah satu contoh realiti dunia, dulu kini dan selamanya dalam satu proses komunikasi dua hala.

3,4 hari yang lalu saya bermimpi ada seorang yang saya hormati (baca: ummi saya) memarahi saya kerana tidak menjaga etika ketika berbual dengan kekasih. Aduh, sungguh terasa dan kena sekali teguran tersebut.

"Ummi tengok, din ni macam main-main baca Quran sekarang ni. Kejap berhenti baca bila ada orang telefon, kejap berhenti baca sebab saja-saja nak tegur orang ramai, kejap berhenti baca sebab nak buat benda tu benda ni. Tak patut buat macam tuh dengan kekasih hati kita." Noktah. Saya terbangun.

Benarlah perumpamaan yang dibawa Imam Ghazali tentang adab kita dengan al-Quran mestilah seperti adab kita dengan sang kekasih, bahkan lebih! Apakah rasanya hati kita jika sang buah hati yang sedang asyik dengan kita tiba-tiba sahaja mengutamakan benda lain semasa sedang asyik berbual dengan kita?

Rasa empati yang wajib ada dalam diri setiap muslim. Meletakkan diri kita di tempat orang yang menjadi mangsa barulah kita tahu akan pahit pedihnya suatu perasaan itu.

Inikan pula kata-kata ALLAH.. Kalam Agung.. Kalam Mulia.. Kalam Adil.. Kalam Mukjizat.. Kalam tiada bandingan. Sudah benarkah letak duduknya al-Quran dalam hidup kita sehari-harian? Atau saya dan teman ziarah memandang al-Quran sama seperti buku-buku biasa yang lain?

Al-Quran takkan sama dengan buku-buku karangan manusia yang kita pelajari kerana al-Quran adalah bukan karangan manusia. Ianya wahyu dan kata-kata dari langit!

Setiap huruf dan ayatnya menuntut pemahaman dan pelaksanaan daripada kita. ALLAH..Ampunkanlah dosa-dosa kami. Ringankanlah beban bagi kami menanggung tanggungan al-Quran, kata-kata yang berat ini. Permudahkanlah ya ALLAH.

Zenki 44,
Kampus Jalan Hospital,
25200 Kuantan.

Friday, September 25, 2009

Pewarna Corak Kehidupan Ini.

Di kedalaman hati ku
Tersembunyi harapan yang suci..
Tak perlu engkau menyangsikan..
Lewat kesalihanmu
Yang terukir menghiasi diri mu
Tak perlu dengan..
Kata kata..
Sungguh, walau ku kelu
Tuk mengungkapkan perasaanku..

-Edcoustic feat Nurzenki pada "nantikan aku dibatas waktu"-

Aduh, Salam sakit tanda cintanya Pencipta pada kita. Mahu menguji apa cinta itu manis di mulut cuma atau memang benar dari hati yang manis :)

Saya cuba membebaskan diri dari gaya bahasa sebelum ini untuk memudahkan teman-teman ziarah lebih memahami inti yang ingin dikongsi bersama. Apa manis, masam, atau masinnya inti ini moga teman kan sudi merasa dan menambah jika kurangnya ya.

Seminggu bercuti ini memang masa yang langsung tiada tekanan peperiksaan dan pelajaran kerana saya baru habis peperiksaan pertengahan semester. Tapi teman, cuti ini amat padat dengan jadual kenduri kahwin teman-teman rapat dan saudara mara ku. Wah..sungguh penat makan,ziarah,makan ziarah. Hingga terluput waktu belajarku dengan guru mengaji Quran dan guru pembersih hati ku. Inilah bahana anak muda yang perlu mengurus diri sendiri secara total.

Beberapa jam lagi akan bertolak ke kuantan, buku ilmiah satu pun tidak dihadam dalam seminggu ini. Perancangan program pun belum dikemaskini, buku pelajaran? Usah di soal, nasibnya ada 'kenali ubat' di laman sendiri. al-Quran? itu rahsia.

Beza sungguh cuti kali ini dengan banyak masa bermain dan berlatih sabar melayan kerenah anak saudara. Baru anak saudara. Belum anak-anak sendiri. Banyak sekali latihan sabar perlu ku lalui sebelum benar-benar diri ini tiba masanya. Ummi selalu dan benar sekali memarahi tabiat tidur saya yang tidak menentu dan tidak berwaktu.

Sayangnya ummi pada anak ini belum jua dihargai sepenuhnya. Mengharap anak yang comel, soleh dan solehah bersama isteri tersayang kah nuruddin?. Jangan mimpilah selagi diri tak menjadi anak yang soleh kepada ummi dan abah sendiri!. Ah, pengajian, pengajian, dakwah, keluarga, berkeluarga dan terus hidup dalam suasana pengajian..bagaimana ya mahu mengawal diri ini sentiasa tenang, merendah diri, memahami teman-teman (maaf ya diri ini sukar difahami), memberi yang terbaik selalu.

Ada 7 penanda aras yang diberi Nabi untuk menilai kebaikan diri. Apakah saya sudah selesai 7 perkara ini?

1) Selalu takut kepada ALLAH baik ditengah ramai atau pun tersembunyi
2) Berkata yang adil dan baik samaada ketika marah mahupun tidak
3) Sederhana dalam miskin mahupun kaya
4) Menghubungkan silaturahim dengan orang yang memutuskan
5) Memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadaku
6) Memaafkan orang yang menganiayai ku
7) Diamku merupakan tafakur dan ucapanku merupakan zikir.

Wah, beratnya 7 penanda aras ini saya rasakan. Teman sekalian bagaimana? Jika ada kekurangan saya yang teman lihat boleh dibaiki dengan 7 penanda aras ini, silalah teman menghulur hikmah menambah ramah menegur saya.

Ah, berat sekali adunan pembaikan diri yang banyak rosak ini. Mujur ada guru seperti Syekh Abul A'la Al-Maududi yang memberikan ubat hikmah buat diri ini. Ah, sakit rasanya jauh dari ALLAH.



Teringat pesan ummi yang selalu dipesan-pesankan. " Dah baca Quran ke hari ni? Tahajud semalam buat ke tak?" " Azam nak tahajud dan pagi esok solat dhuha pula ya ".

Ah..dua tiga hari tak baca al-Quran pasti mulut ini terkena 'stomatitis'. Mau baik? Bacalah Quran sepatut yang sewajibnya!

Eh, tadi tidurku banyak. Melampau lampau. Sebelum jumaat satu jam. Selepas asar 3 jam. Lalu di 'bayar' dengan membuat aktiviti malam tanpa tidur terus. (Aduh, dimarahi lagi kerana tidak tidur..) Maaf ummi abah, anak mu ini tidak suka tidurnya melampau lampau, pasti di qadhakan tidur siang yang melampau itu dengan tidur malam yang tidak di ambil.

Katanya teman sebilik ku. Kamu memang pelik. Kalaulah kamu itu bermain 'DOTA' kamulah balanar. Makhluk tidur siang tak tidur malam. Burung hantu. Entah apa lagi yang saya terima. Apa pun saya tetap berpendirian tidur dalam sehari tidak patut melebihi 5-6 jam. Kalau 3-4 jam itu dikira ok.

Oh, kalian semua (Ummi abah, adik beradik, guru-guru dan teman-teman rapat)lah pewarna corak kehidupan yang serba kekurangan ini. Apa pun tiada yang kurang kerana semuanya cukup sempurna bagi diri saya yang serba tak sempurna ini.

Terima kasih semua. Ingat teman... Anak-anak akhirat bercinta sampai ke Syurga...
terima kasih kerana mencorakkan saya mengikut lakaran ALLAH dan Nabi Muhammad yang tercinta:)..Terima kasih..:)

Anak-anak akhirat bercinta sampai ke Syurga
Zenki 44,
16150 Kubang Kerian.

Ucapan di Saat Kemenangan dih..


" Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan, sesungguhnya ALLAH Maha Pemaat lagi Maha Kuasa" - An-Nisa':149. Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin." -Ria.

-Terima kasih Ria



" Ya ALLAH, di Syawal yang Indah ini ENGKAU muliakanlah saudara ku ini, bahagiakan keluarganya, berkatilah rezekinya, kuatkan imannya, berikan kenikmatan ibadahnya, jauhkan dari segala fitnah, murahkanlah rezekinya, berikanlah pengampunan ke atas kesilapan, kekhilafan dan kealpaannya, Amiin ya robalalamin. Selamat menyambut aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. - Faidhi dan keluarga.

-Amiin ya Nurol Qulub..



" Biar kulit segelap ALMOND LONDON, asalkan hati sesuci KUIH BANGKIT. Biar Iman sekental DODOL, jangan senipis REMPEYEK. Biar jiwa selembut BAULU, dan akhlak secantik BISKUT DAHLIS. Senyumlah semanis WAJIK agar lebaran yang disambut lebih bermakna. Selamat hari lebaran minal aidin wal faizin. Daripada Azman yang merindui orang yang baca mesej ini. " - Abe Saiful Azman.

- Terima kasih , terharu duh.



"EID MUBARAK (",), ja'anallahu wa iyyakum minal a'idin wal fa'izin. Kullu am wa antum bikhair. Taqabbalallahu minna wa minkum. Mohon maaf zahir dan batin " - Dr. Azri dan Raudhah.

- Wa iyyakum aidhon..



" Salam eid Mubarak buat Nuruddin dan family.." - Bro Daniel.

- Terima kembali brother. Moga dalam mood kemenangan dan fitrah selalu. :)



Zenki 44,
16150 Kubang Kerian.

Tuesday, September 22, 2009

Baru Tahu Letihnya Mengasuh Kami..

Salam al-Kelantani, 4 Syawal 1430 H, 23 September 2009


Wah... Auni Nafeesa bt Mohd Fikry. Moga menyejukkan hati ummi dan abah mu ya wahai anak saudara kedua ku..:) Moga tenang mu sekarang berkekalan sehingga ke dewasa, matang dalam ketenangan. Buat tatapan ayah fiq, saudara mara serta sekalian teman ziarah.


Kenangan hari raya pertama satu keluarga besar yang baru berkembang dan insyaALLAH kan terus berkembang. *Wah, ayah fiq tak ada ni. Salam rindu buat ayah fiq di bumi Tanta, dari anakanda Aisyah Humaira' dan Auni Nafeesa. :)


Dua permata hati ummi dan abah ku yang sudah 'memberikan' cucu pertama dan kedua buat ummi dan abah ku. Menanti cucu ketiga dari kak long insyaALLAH akhir tahun ini. Moga selamat semuanya. Moga Aisyah makin ceria dan menjadi kakak yang baik lagi bertanggungjawab di mesir dan balik ke Malaysia nanti.



Mohd Nurul Hisyam & Fatimah az-Zahra' + Aisyah Humaira'



Mohd Fikry & Saida Marlina + Auni Nafeesa



Ummi, Abah dan anak-anak yang dah berkeluarga.


wah..sukanya bersama tuk mi..



tenang, ceria dan banyak cakap, tapi bijak :)..itulah saya, Aisyah Humaira' binti Mohd Nurul Hisyam





Penat menjaga dan mendukung Aisyah yang tidak mahu dengan orang lain selain dari ayah dan ibunya serta ayah din nya. :). Meluahkan rasa penat ini kepada ummi. Terus dijawab ummi.."haa, baru tahu macam mana nak jaga budak-budak ramai dulu (baca: saya dan adik beradik yang lain)."

Baru terfikir dan merenung kembali. Betapa susahnya ummi menjaga kami 7 beradik yang bermacam ragam perangai dan kerenah ini. Lebih-lebih lagi saya yang mudah 'angin' dan agak 'sensitif' ini dulu. Dengan jarak umur yang terlalu dekat. Anak pertama sekarang 26 tahun diikuti abang kedua 25, 24, saya 23, adik 21,20 dan 18. Allah... tak terbayang betapa penat dan teruknya ummi semasa melayan kami dahulu.

Moga anak-anak ummi ini semuanya menjadi anak yang soleh dan solehah. Moga tak sia-sia penat lelah ummi abah mendidik dan menjaga saya dan adik beradik yang lain dahulu.

Mampukah saya menjadi hamba yang diredhai-Nya, ummat yang diterima baginda, anak yang soleh, abang yang baik, sahabat yang setia, serta menjadi seorang suami dan ayah yang penuh kasih sayang? Doakan..


Zenki 44,
16150 Kubang Kerian,
4 Syawal 1430H,
23 September 2009.

Ucapan Demi Ucapan Menuntut Pelaksanaan



Salam al-Kelantani, 3 Syawal 1430 H, 22 September 2009

Lama tidak memperbaharui entri blog. Banyak isu-isu dan perkara berlalu begitu sahaja. Banyak benda yang dikongsi bersama abang, sahabat-sahabat, teman-teman karib dalam soal masa depan dan kehidupan yang sementara cuma ini.

Dalam kesibukan berkenduri dan berziarah, tidak lupa jua kesibukan membalas dan memberi ucapan aidilfitri kepada kenalan-kenalan. Sebelum balik beraya di Kubang Kerian, banyak peristiwa dan pengucapan menyentuh hati berlaku di dalam kelas saya. Alhamdulillah segala luka-luka lama dari Darul Quran sehingga UIA Kuantan telah terubat langsung dengan slot muhasabah bersama teman-teman sekelas yang cukup memberi kesan. Dengan hampir semua 'sisters' menangis, dan 'brothers' bercakap dengan sejujurnya. Alhamdulillah dan Alhamdulillah.

Petang hari terakhir saya berada di Kuantan, saya mendapat saya pesanan ringkas yang sungguh tidak disangka. Satu pesanan ringkas yang merobek kembali luka yang baru sembuh. Sungguh slot muhasabah tadi bagaikan hilang ertinya. Sungguh kebesaran jiwa menuntut saya untuk bersabar walaupun ada juga paku buah keras yang saya pulangkan kembali dalam penuh 'rajuk' dan 'kerendahan diri'. Malam tersebut terus saya bincangkan dengan sahabat baik dari Gombak, Zaki, akan kewajaran tindakan saya memulangkan paku buah keras berbentuk sebegitu.

Alhamdulillah, moga hikmahnya dapat ditemui oleh orang-orang yang terasa dengan tindakan saya walaupun kadang-kadang jtindakan itu dikatakan 'keras' dan langsung tiada kebaikan. Sedangkan ruang penjelasan demi penjelasan telah ditutup dengan prejudis dan penghakiman awal tanpa merujuk.

Ramadan berlalu, alhamdulillah hati ini semakin lembut. Semuanya telah saya maafkan dan saya lupakan. Biarlah yang lalu terus berlalu. Apa pun, buat mereka yang mahu menutup mata dari kebenaran saya tidak mempunyai kuasa untuk melembutkan hati tersebut kerana hanya ALLAH pemilik segala hati.

Saya akan terus berusaha dan berdoa dan terus berdoa dan memberi sedikit 'pengajaran' supaya kekasaran pendekatan itu kan disedari dan diinsafi.

Tiada apa yang menarik akan ucapan demi ucapan dari setiap pesanan ringkas yang saya terima bagi yang mengucapkan selamat hari raya melainkan semuanya menuntut perlaksanaan demi perlaksanaan kata-kata.

Sekadar berkongsi peringatan dari ucapan sendiri yang membekas ke dalam diri ini.

'Ramadan berkat melimpah ruah,
Aidilfitri hari yang meriah,
Puasa enam lah hadiah,
Hidup bermakna menuju ALLAH..
Salam aidilfitri, maaf zahir dan batin.
Mencari ketenangan,
Nuruddin.'


Dalam banyak pesanan ringkas yang dibalas dan diterima saya, ada satu pesanan ringkas yang menambah ilmu, suka saya kongsikan jua disini.

Manusia menyebutnya adat,
Kami melafaznya ibadat,
Taqabbalallahu minna wa minkum,
Selamat Hari Raya Aidilfitri
- Haji Hasrizal sekeluarga @ www.saifulislam.com



Zenki 44,
16150 Kubang Kerian,
Syawal 1430H

Monday, September 14, 2009

Muhasabah (2) Tentang Cinta

Bercakap tentang cinta. Saya biasa menjadi objek serangan dengan posisi yang hanya mendiamkan diri tanpa menjawab atau mempertahan.

Kerana saya masih baru dan belum hangat dalam bercinta. Kerana selalu gagal dan terlalu 'budak' dalam memahami erti cinta.

Selesai perbincangan hati ke hati bersama adik-adik satu kumpulan, saya mendapat suatu perkara baru supaya diterapkan ke dalam diri. Supaya diri ini lebih memahami apa itu cinta, apa itu rindu, apa itu sayang. Dalam sudut pandang seorang yang masih belajar dan cuba untuk mendapatkan cinta serta mengamalkan cinta kepada semua orang-orang disekeliling saya.

Tadi perbincangan tentang apakah keperluan mempelajari susur galur 'cinta' dalam memahami cara hidup yang bermakna ini. Keperluan pertama berkisar tentang hukum-hukum yang bakal kita perolehi hasil dari tindakan mempelajari 'cinta' itu sendiri. Memahami bahawasanya 'cinta' itu sendiri adalah erti makna kehidupan ini yang sebenarnya. Memahami tanpa 'cinta', kita semua tidak akan diciptakan. Tanpa 'cinta' Nabi Adam 'alaihissalam tidak akan diciptakan. Tamat secara ringkas pelajaran pertama.

Perbincangan kedua berfokus kepada jalan-jalan menuju 'cinta'. Denai-denai memahami sumber-sumber 'cinta'. Lorong-lorong mendapatkan 'cinta'. Bermula dengan memahami apa itu al-Quran. Mempelajarinya, mentadabburnya, serta paling penting untuk mengamalkannya. Barulah 'cinta' sebenar ini kan mekar mewangi di taman abadi.

Malam ini malam ke -25. Saya terkejut dengan pesanan ringkas dari seorang teman mengatakan ada seorang sahabat saya meninggal dunia. ALLAH, betapa indahnya kepergian di dalam bulan yang mulia ini. al-Fatihah buat Amin bin Abd.llah. SPM 2004, Kelas 5 Sains Dimashq, Maahad Muhammadi Lelaki. Moga syurga buatmu teman. Dikejutkan juga dengan kematian seorang pelajar UIA yang ditembak mati di Palestin. Moga syurga jua buatmu teman. Sekali lagi al-Fatihah.

Tingkatan lorong kedua yang wajib diteladani tadi adalah sunnah baginda. Hanya dengan sunnah baginda barulah sayang dan rindu akan 'cinta' ini dapat diperoleh.

Tahap ketiga mestilah melalui susur galur jejak langkah baginda di dalam sirah kehidupan baginda Nabi Muhammad dalam kita memahami 'cinta' yang begitu disayangi oleh seluruh alam ini.

Saya memberi suatu cadangan kepada adik-adik kumpulan untuk memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 1 jam 30 minit setiap hari untuk bergerak mendapatkan 'cinta' ini melalui jalan-jalan 'cinta' yang telah kami perbincangkan. Saya memuhasabah erti cinta, kasih dan sayang serta rindu bersama adik-adik untuk betul-betul membuktikan kalimah 'cinta' yang setiap hari kita semua lafazkan.

ALLAH, berilah kami semua, penulis ini serta seluruh teman ziarah yang budiman untuk bersungguh mendapatkan dan menjaga 'cinta' yang selalu saya dan teman ziarah budiman lupakan. Sungguh saya memohon tanpa malu, kerana hanya 'cinta' lah yang saya harapkan.

Kesimpulan:

Pembahagian peruntukan 1 jam 30 minit setiap hari :-

50 minit untuk al-Quran
30 minit untuk satu hadith dari hadith-hadith 40 Imam Nawawi
10 minit untuk buku 'kajian cinta' yang agak berat buat hati-hati yang tiada rasa cinta dan rindu.

Istiqamah dengan sedikit lebih baik dari membaca habis sekali lalu tanpa di ulang-ulang. Buat keluarga akhirat, suatu renungan jiwa.

Adik-adik, teman ziarah yang dicintai sekalian. Cuba tukarkan setiap kalimah 'cinta' di atas kepada 'ALLAH dan Rasul-Nya'. Dan Tukarlah buku 'kajian cinta' di atas kepada buku 'fiqh sirah', karangan mu'allim Syekh Ramadan al-Bouti.

Alhamdulillah, selesai satu pembedahan sub-topik buku 'cinta' dari buku Fiqh Sirah 1.

Moga mendapat manfaat di akhir-akhir detik bulan 'cinta' yang agung ini.

Moga kita semua kan bertemu kembali di bawah naungan ALLAH di hari tiada naungan melainkan naungan-Nya sahaja yang wujud. Dedikasi buat semua yang ku rindui, sayangi, kasihi serta cintai.

Rindu 'cinta'.


Mencari pembakar rindu 'cinta' di bumi Syam
Dihadapan kincir air tertua di dunia, di bumi Syam, kota Homs. Kincir yang dibuat dan mula beroperasi sejak zaman daulah Umawiyah hampir seribu tahun yang lalu dan masih berfungsi gah mengairi tanaman sehingga sekarang. Juga merupakan tapak pembunuhan ribuan pejuang Ikhwanul Muslimin Syria di bawah regim sosialis Syria tidak lama dahulu (kebenaran yang disembunyikan dari mata dunia).



Zenki 44,
25200 Kuantan.

Sunday, September 13, 2009

Nota Diri 1: 5 Penanda Aras Kemanusiaan

Salam al-Kelantani, 24 Ramadan 1430 H, 14 September 2009

Dari Abu Hurairah radiallahu'anhu katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: " Siapa yang mahu ambil dariku kalimah-kalimah (nasihat) ini, maka dia boleh beramal dengannya atau dia ajarkan kepada sesiapa yang mahu beramal dengannya."

Kata Abu Hurairah: Saya wahai Rasulullah! Maka baginda memegang kedua tanganku dan membilang lima perkara:

Maksudnya:
" 1) Peliharalah diri dari perkara yang diharamkan, jadilah kamu orang yang paling kuat beribadat,
2) Redhalah dengan apa yang ALLAH bahagikan untukmu, jadilah kamu orang yang paling kaya,
3) Berbuat baiklah kepada jiranmu, jadilah kamu orang mukmin,
4) Buatlah apa yang manusia sukai seperti kamu juga suka dibuat perkara itu kepadamu, nescaya jadilah kamu orang Islam yang (sebenarnya) dan,
5) Janganlah kamu banyak ketawa, kerana banyak ketawa itu boleh mematikan hati."


Ambillah peringatan wahai insan-insan yang merasa dirinya hebat dan tidak pernah merasa cukup dengan apa yang ada!

Mengingati keseriusan Sultan Salahuddin Ayyubi di atas kota beliau di Aleppo (Qal'ah Halab).

Zenki 44,
25200 Kuantan.

Saturday, September 12, 2009

Malam-Malam Peperiksaan di 10 Terakhir ; Suatu Penilaian Semula


huk huk.. huk huk.. huk huk..

Aku terpana. Apalah ertinya peperiksaan dunia dengan ganjaran al-Qadar. 10 malam terakhir , malamnya semua dipenuhi ketenangan. Semuanya sukar untuk kita ketahui bilakah waktunya al-Qadar.

Tadi, saya benar-benar terpukul. Keluar dari bilik air selepas balik dari solat subuh disurau, saya melihat indahnya alam. Benar-benar menenangkan mata.

Matahari yang malu-malu memancarkan cahayanya, daun-daun pokok yang kekuning-kuningan, tumbuh-tumbuhan yang seakan menunduk menyembah bumi, burung-burung tenang berkicauan sahut-menyahut. ALLAH..apakah telah terlepas malam al-Qadar? Apa yang saya telah buat semalam? Tidur kerana sakit kepala. Bangun, belajar untuk peperiksaan dan sekadar sebentar cuma mengadap Ilahi.

Tenang menghayati alunan ayat-ayat cinta dari Syekh al-Qurra', Syekh Khalil Husoiri. Kerugian besar tidak sempat menyertai solat tahajud beramai-ramai bersama-sama sahabat luar negeri disurau, menghayati alunan indah surah al-Qasas. Sambil belajar, sempat bertanya khabar sahabat dari mesir, Wan Safwan menggunakan YM.

ALLAH..sungguh pagi ini sungguh tenang..Jika benar al-Qadar telah berlalu..ampunkanlah dosa-dosaku ya ALLAH. Sungguh dunia tiada nilai walaupun seberat sayap nyamuk disisi-Mu ya ALLAH..

Jika benar ianya telah berlalu, moga segala amalan dan permintaan kaum muslimin Engkau perkenankan ya ALLAH. Jika belum, berikanlah kami kekuatan untuk terus mencari redha-Mu didalam baki 7 hari yang tinggal ini ya ALLAH.

Sungguh aku merindui saat beri'tikaf dimasjid, bertadarus berqiamullail bersama teman-teman hati.

Moga diterima segala amal. Moga dikurniakan keampunan dan peluang bertemu lagi malam al-Qadar jika dipanjangkan umur.



Selawat dan salam buat junjungan tercinta Nabi Muhammad dan ahli keluarga Baginda.

Duhai yang Maha Pengasih, lagi Maha Pemurah, lagi Maha Agong, Maha Perkasa. Aku bersaksi Engkaulah ALLAH, tiada Tuhan melainkan Engkau yang Maha Esa, tiada bergantung kepada segala sesuatu, tiada beranak dan tiada diperanakkan dan tiada seorang pun yang setara dengan Engkau..

ya ALLAH Murnikanlah niatku, perelokkanlah kematianku ya Rabb..

Matikanlah aku didalam Islam!

Selawat dan salam buat junjungan tercinta Nabi Muhammad dan ahli keluarga Baginda.

Moga diperkenankan.

Rindu keredhaan, Takut kemurkaan.


Zenki 44,
Teratak Talhah,
25200 Kuantan.

Thursday, September 10, 2009

Berani : Seulas rasa, buah hikmah dari ladang Hamka



Salam al-Kelantani, 20 Ramadan 1430 H, 10 September 2009

Berani berjaya, berjaya!. Berani berjuang, syahid!. Berani i'tikaf, pahala melebihi seribu bulan!.

Semalam sungguh dingin dan tenang. Serasa ada ketenangan yang lain dari malam-malam yang lain dibulan barakah ini. Apakah telah berlalu malam al-Qadar? Saya biarkan persoalan itu bermain dalam ketidakpastian. Kerana hikmah ketidakpastian itu sungguh mengujakan jiwa untuk berusaha. (Seperti dihuraikan Ustaz Hasrizal dalam blognya saifulislam.com tentang hikmah ketidakpastian)

Apakah erti berani?

Dengan keberanian menempuh kesukaran, orang hendak memperhatikan kesanggupan kita. Orang hendak melihat peribadi kita.

Socrates mengatakan: "Diri itu adalah seperti negara, dan negara adalah seperti diri. Bahkan, diri adalah negara dan negara adalah diri."

Mencari kemenangan bukanlah perkara mudah; kejayaan bukanlah perkara kecil. Sebab itu belajarlah dan beranikanlah diri tertawa pada waktu "kematian angin", seperti tertawa sewaktu dihembus angin. Beranilah dan kumpulkanlah kekuatan pada waktu gagal untuk tegak dan melompat sekali lagi, dengan lompat yang lebih keras, sehingga orang yang tadinya tertawa melihat kita jatuh bertukar menjadi takjub.
-renungan buat adik-adik tahun pertama kulliyyah kejururawatan UIA-

Tidaklah bernama berani orang yang sentiasa mengadukan nasibnya kepada orang lain. Sebab cita-cita dan pengharapan pada zaman hadapan, dan keyakinan akan menang, itulah perkara yang menguatkan ruh insan untuk terus berjalan. Itulah yang membesarkan himmah. Apalagi jika perjuangan itu diselenggarakan dengan akal, dengan hati dan dengan tangan. (monolog buat nuruddin dan teman ziarah yang budiman)

Mengakui kekurangan diri adalah tangga buat kesempurnaan diri. Berusaha terus mengisi kekurangan itu adalah keberanian luar biasa. Merasa cukup adalah alamat tidak cukup. (muhasabah buat diri)

Barang siapa tidak sanggup atau tidak berani menguasai dirinya, jangan harap dia akan sanggup menguasai orang lain. Bukan keberanian kalau sanggup berkelahi dengan harimau, tapi keberanian ialah kesanggupan berkelahi dengan kehendak nafsu.


Ayuh kita naik setingkat lagi.

Sudahkah kita berani memberi maaf musuh kita? Sudahkah kita berani menghapuskan dari hati kita perasaan dendam, kerana kesalahan teman kepada diri kita?

"Membalas baik dengan jahat adalah perangai yang serendah-rendahnya."

Membalas jahat dengan jahat, bukanlah perikemanusiaan.

Membalas baik dengan baik adalah hal yang biasa.

Tetapi membalas jahat dengan baik adalah cita-cita kemanusiaan yang setinggi-tingginya. Kita harus sanggup hidup memberi cita-cita itu tumbuh."

Memang sakit rasanya jiwa kita sendiri tatkala membalas kejahatan dengan kebaikan. Dalam batin kita amat hebat perjuangan nafsu jahat dengan budi yang mulia. Nafsu membayangkan penderitaan kita kerana kesalahannya, kerugian kita kerana aniayanya.

Dibayangkan pula bahawa pembalasan adalah hal yang pantas dan hal yang patut. Tetapi budi kita yang mulia membayangkan lawannya, iaitu kepuasan hati kerana kemenangan budi, kerana memberi maaf, kerana menolong orang lain, dan lagi kepuasan hati bilamana kerana ketinggian budi kita, kita dapat membuat musuh besar menjadi teman yang karib dan setia.

Hebat perjuangan dalam batin. Kita mesti berani!

Pembakar jiwa dari kalam Bapak Hamka. Karya Peribadi.


Kita memang berani mati untuk mendapatkan 4.0 GPA @ Distinction. Tapi begini juakah berani matinya kita mencintai ALLAH?

Moga sekalian teman hebat jua berani dalam perjuangan meraih akhirat . Motivasi buat diri dan sekalian teman ziarah yang budiman.

Karya-karya Habiburahman dengan mega-mega cintanya dan karya-karya Faisal Tehrani dengan nilai sasteranya yang tinggi begitu cepat kita hadamkannya. Tapi kata-kata ALLAH? Moga kita berani jua untuk mencintai kalamullah yang Agung ini!



penyair Iqbal berkata :

"Umur bukan ukuran tahun
Akal bukan ukuran tubuh
Sehari hidup singa di rimba
Seratus tahun bagi si domba."


Zenki,
25200 Kuantan.

Sunday, September 6, 2009

'Post-mortem' suatu pembedahan diri.


Koreksi diri

Perbaiki diri

Banyakkan selawat

Kurangkan bercakap

Banyak membaca Quran

Kurangkan prasangka

Banyakkan istighfar

Kurangkan cakap belakang

Banyakkan bersuci

Kurangkan mencaci

Banyakkan membaca

Kurangkan berkata-kata

Banyakkan mengingat

Jaga diri dari yang dilarang!

-muhasabah diri ku, 17 Ramadan 1430H-


Tribut buat mentorku, Brother Muhtar Suhaili untuk entrinya yang mengusik hati.
http://muhtarsuhaili.wordpress.com/2009/09/01/motivasi-diri-aku-adalah-panah-panah-islam/

Motivasi Diri: “Aku Adalah Panah-panah Islam”!

As-Sarawaki, 11 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah! Sa’ad bin Abi Waqqas r.a dikatakan pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Aku adalah panah-panah Islam, maka tujukanlah aku ke mana sahaja yang engkau suka.” Ya, mudah-mudahan kita juga mempunyai semangat tekad ini!

Tekad (Dendangan Izzatul Islam)

Kami sadari jalan ini kan penuh onak dan duri
Aral menghadang dan kezhaliman yang akan kami hadapi
Kami relakan jua serahkan dengan tekad di hati
Jasad ini, darah ini sepenuh ridho Illahi

Kami adalah panah-panah terbujur
Yang siap dilepaskan dari busur
Tuju sasaran, siapapun pemanahnya

Kami adalah pedang-pedang terhunus
Yang siap terayun menebas musuh
Tiada peduli siapapun pemegangnya
Asalkan ikhlas di hati tuk hanya ridho Illahi Robbi…

Kami adalah tombak-tombak berjajar
Yang siap di lontarkan dan menghujam
Menembus dada, lantakkan keangkuhan

Kami adalah butir-butir peluru
Yang siap ditembakkan dan melaju
Dan mengoyak, menumbang kezhaliman
Asalkan ikhlas di hati tuk jumpa wajah Illahi Rabbi…

Kami adalah mata pena yang tajam
Yang siap menuliskan kebenaran
Tanpa ragu ungkapkan keadilan

Kami pisau belati yang slalu tajam
Bak kesabaran yang tak pernah padam
Tuk arungi da’wah ini jalan panjang
Asalkan ikhlas di hati menuju jannah Illahi Robbi…

Fahamilah dan semoga bermanfaat buat tetamu ziarah yang budiman sekalian dan paling penting bermanfaat buat diri saya sendiri. Semoga kita menjadi generasi dakwah yang unggul. Amiin Ya Rabb!

(ihsan laman muhtarsuhaili.wordpress.com)

Saturday, September 5, 2009

Qiamullail anjuran MRC Talhah

Qiamullail harian anjuran mrc talhah akan bermula malam ini atau pun esok. Bergantung kepada imam (saudara Rasyid, post-grad student pharmacy). InsyaALLAH 30 juzuk bacaan dalam solat akan dihabiskan sebelum 13 september ini dengan bermulanya Qiamullail harian ini. (Sekarang terawih baru masuk juzuk 10).

"Hendaklah kalian melakukan Qiamullail, kerana dia dapat menebus kesalahan dan dosa-dosa. Qiamullail adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu dan pemusnah penyakit dari tubuhmu." (At-Tirmidzi, no 4549; Al-Baihaqi dalam assunan kubra no. 4691,4693)

Fudhail bin Iyadh mengatakan: " Wahai Waki'! Tidakkah kamu mendengar apa yang ALLAH firmankan?" Waki' menjawab: "Saya belum mendengarnya. " Fudhail mengatakan: "ALLAH Subhanahu wa Ta'ala berfirman: " Seorang hamba yang mengaku mencintaiKu, tidaklah jujur kalau dia tidur dan melupakanKu ketika dia diliputi malam." (Lihat Siyar A'lam An-Nubala', biografi Muhammad al-Musayyab, no 2753)

-rujukan: Jagalah ALLAH, ALLAH pasti menjaga mu. - Dr Aidh Abdullah al-Qarny


Tarbiyah: Kewajipan tanpa kompromi!

menjemput diri sendiri dan kita semua membiasakan dengan amalan sunat yang begitu dititik beratkan oleh baginda ini. Sungguh kafilah orang-orang soleh dan pejuang kebenaran telah lama meninggalkan kita yang masih tidur ini.


buat yang mahu bercinta, cuba bercinta dan sedang bercinta dengan PENCIPTA segala rasa cinta. Ayuh semarakkan ramadan, mungkin ini ramadan terakhir kita....mungkin ini malam terakhir kita...


Sama-sama menghidupkan persediaan menerima 10 malam terakhir ini

Friday, September 4, 2009

Sahur percuma yang PANAS! Moga berkat



Semalam saya berjalan dari bilik menuju ke pusat kemudahan untuk lelaki (Central Facilities for Brothers, CF Bro) untuk mengambil sahur percuma yang disediakan oleh Biro Penjagaan Islam? (betul ke terjemahan begini?) (Islamic Care Bureau) MRC Talhah.

Baru sahaja turun dari tangga blok, berjumpa Amir dari terengganu. Pelajar tahun dua perubatan. " nok gi sahur? takdok doh, habis doh". Tegur Amir. "Aduh, rasanya baru jam 4.45am. Masa untuk sahur tu dari jam 4.30-.5.30 pagi. Cepatnya habis..?"

Tadi, sekali lagi saya berjalan untuk bersahur percuma. Jam 4.35am. Sampai di CF Bro, sekadar tersengih dan sekali lagi pulang ke bilik dengan perut kosong. Dah habis juga rupanya. Nampaknya ICB MRC Talhah perlu tambah bajet ataupun bilangan anggaran pelajar untuk bersahur rasanya.

Buah kurma bersama air masak pun sudah cukup sebenarnya. Adat pelajar, biasanya mahukan barang-barang 'majanan', 'free' atau percuma. Namun, di dalam hidup ini, jika kita terlambat , ertinya benda itu bukanlah rezeki kita.

Baru seminit berada di bilik. Datang Aminuddin, pelajar tahun dua perubatan. Masuk melawat, tengok-tengok tanya khabar dan terus keluar. "ish, pelik budak ni datang melawat pagi-pagi gini", Dua minit kemudian, datang lagi sekali Amin membawa nasi ayam. "ambillah, pakcik kat terawih aku jadi Imam kat luar bagi semalam." Huu. Apa boleh ku kata. Ditengah kelaparan datang sahabat menyempurnakan hajat. Moga ALLAH berikan 'distinction' buat mu dalam peperiksaan akhir blok pertama tahun dua ini.

Saya terfikir. Jika kita terlambat, mungkin benar itu kesalahan kita. Tapi janganlah disebabkan tidak mendapatkan apa yang kita inginkan, kita melupakan nikmat ALLAH yang terlalu banyak disekeliling kita. Janganlah sampai kita menutup mata dari peluang dan ruang-ruang yang ALLAH sediakan buat kita semua ini, hamba-Nya.

Pengajaran:

Ingatlah bumi ALLAH itu luas.
Ingatlah rezeki kita hanyalah ditangan ALLAH.
Bukalah ruang untuk menerima yang lebih baik walaupun mungkin kita terlepas dan gagal mendapatkan apa yang selama ini kita idam-idamkan.
Yakinlah janji ALLAH akan ketentuan-Nya dalam hidup, rezeki, JODOH dan AJAL kita.

Salam mujahadah 15 terakhir Ramadan.


Zenki,
5.19am,
Blok T2, 2.1,
Teratak Talhah,
25200 Kuantan.

Masa Itu Nyawa