Saturday, August 29, 2009

Luahan hati seorang ibu...

Oh ibu..tidak terkata untuk menyatakan jasa ibu, 9 bulan ibu mengandung dengan berbagai dugaan dan cubaan. Ibu menempuh perit dan derita semasa melahirkan..! Semasa dalam pantang, ibu mengalami berbagai situasi yang tak terduga. Mengawasi diri sendiri, mendidik anak yang belum mengerti dan menjaga hati suami yang bukan semua boleh dikongsi. Hati seorang ibu yang cekal sukar dicari, sukar diganti.


Setiap ibu sanggup berkorban untuk anak-anak sedangkan anak belum tentu lagi. Kalau susah, biar ibu yang susah, anak jangan. Kalau ibu lapar, biar anak tidak lapar. Kalau ibu sakit anak jangan sakit. Kalau pakaian, biar anak cukup pakai, ibu tak apa. Kalau ibu sedih, hampir tercabut nyawa pun seboleh-bolehnya tidak diberitahu kepada anak-anak. Itu hanya secebis pengorbanan ibu.


Percayalah bila ibu sudah tiada, barulah anak terasa ketiadaan ibu dan hidup terasa kosong. Tiada tempat untuk mengadu. Kalau ibu ada, ibu buat itu, ibu buat ini, ibu cari itu, ibu cari ini. Ibu banyak boleh buat untuk anak-anak. Ibu sentiasa memberi sokongan terbaik untuk anak-anak. Yang paling besar, doa ibu yang mujarab. Kalau tiada ibu, tiadalah doa yang lebih baik daripada itu. Oleh itu, jaga hati ibu semasa dia masih hidup. Belajarlah untuk menjaga hati ibu. Belajarlah untuk menjaga hati ibu...


Semasa ibu masih ada, ada-ada saja yang tak kena. Ibu kolot, ibu tak faham, ibu tak sporting, ibu menyakitkan hati dan apa-apa lagi. Bila kita dewasa kita menjadi seorang ibu dan bila ibu tiada, sifat-sifat tadi akan beransur-ansur hilang. Barulah kita berfikir kenapa ibu begitu???...

SEBENARNYA IBU...SAYANG KITA!!!!

Akhir 2004.


Surat sayang pertama dari ummi ku buat aku yang agak keras kepala dan tidak memahami hasrat hati ummi yang mahukan yang terbaik buat anaknya.

Sengaja ku kongsikan buat semua teman ziarah, moga ada manfaat dan buah hikmah yang mampu kita rasai bersama.


Janganlah terlalu berkeras dengan ibu dalam soal pemilihan calon isteri atau suami. Teman, sesungguhnya ibu bukan mahu mengawal segala corak hidup anaknya. Tapi ibu sayang dan mahukan anaknya tidak menyesal dikemudian hari dengan keputusan yang tergesa-gesa.


Teman, janganlah pula terlalu berkeras untuk tidak mahu berkahwin awal (selepas pengajian) jika dipinta oleh ibu mu yang tersayang. Janganlah keputusan ibu menghalangmu berkahwin semasa belajar membuat hatimu keras untuk melaksanakan sunnah Rasul yang mulia itu. Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna. Setiap insan pasti ada kekurangannya. Ada keterlanjurannya. Sebaik-baik anak adam adalah yang bertaubat.


Maafkan diri ini buat semua yang pernah aku sakiti, pernah aku tolak lamarannya, pernah aku minta ditimbang kembali, pernah aku kecewakan, pernah aku mendiamkan diri tanpa jawapan. Sesungguhnya diri ini hanyalah manusia biasa. Pernah jua di sakiti, dan tiada diperhatikan.


Semalam, diriku masih ditanya persoalan yang sama. "Masih ada apa-apa kah?" Dengan hati yang kelat, jawapan yang sama tetap diberi. "tiada".


Memang, perkahwinan itu suatu jalan meramaikan ummat dan menyempurnakan agama. Namun, situasi ku sekarang lebih memberatkan aku untuk mencorakkan detik-detik malam pertama ku di alam kubur.


Persoalan entri sebelum ini; "ku terima lamaran ini" ada kebenarannya aku menerima lamaran seseorang secara tidak langsung. Tapi itu bukanlah persoalan pokok. Fokus aku ialah pada lamaran ALLAH yang telah aku dan teman-teman sekalian mengikat janjinya suatu ketika dahulu di alam ruh. Aku tidak kecewa jika ada teman yang ingin menarik bai'ah, kerana mungkin teman itu terlupa "aku janjinya" dengan ALLAH. Terlupa lamaran ALLAH yang diterimanya di alam ruh suatu ketika dahulu.


Benarlah mafhum sabda baginda:
"sesungguhnya ruh-ruh itu adalah terdiri daripada tentera yang tersusun dan saling mengenali antara satu sama lain." Jika dia merupakan teman rapat di alam ruh, begitulah jua dia menjadi teman rapat kita di alam buana ini. Atau jika antara ruh itu saling bermusuhan di alam ruh, begitulah kisah hidup antara ruh-ruh yang saling bermusuh di alam nyata ini."


Satu persoalan memberatkan minda jika tidak difahami dengan hati yang tulus dan telus mahukan kebenaran. Bukan mahukan kebenaran dari diri sendiri untuk diterima orang lain, tapi mencari titik kebenaran sebagaimana disarankan ALLAH dan Rasul-Nya.

Teringat akan teman hati ku, Harun berbangsa turki warganegara Jerman. Harun yang petah berbicara 5 bahasa. Umurnya sama dengan ku. Baru tahun ini menyempurnakan agamanya dengan muslimah warga Malaysia.

Harun, teman yang lembut hati, indah bahasanya, baik pekertinya, murni niat dan cita-citanya. bersama teman-temanmu dari bumi konstantinopel. Aku rindu keramahan anak-anak didik Syeikh Badiuzzaman Sa'id Nursi ini yang gigih menuntut dan menyebarkan ilmu dari Risalae-Nur ini.

Sungguh hati ini terasa dan tersentuh dengan ucapanmu " mungkin ruh kita bersahabat rapat di alam ruh dahulu, menyebabkan aku merasakan begitu rapat dan dekat denganmu walaupun kita hanya berkenalan tidak sampai dua bulan." - Wah, bahasa Melayu mu pun turut indah dan sopan dimata anak Melayu yang terkadang masih berkasar ini duhai teman.

Bersama Harun (kiri) dan Abdul Rahman (kanan) di sekitar Ma'ahad Abu Nour. Kedua-duanya bangsa turki yang indah bahasa dan lembut pekertinya.



Moga teman-teman hatiku yang ikhlas sebegini kan ku temui kembali jua di alam akhirat nanti di dalam taman-taman yang mengalir dibawahnya sungai-sungai yang kekal lagi abadi.



Moga teman-teman ikatan imanku ini kan ku temui lagi di hari yang tiada persahabatan lagi melainkan buat mereka-mereka yang bertaqwa dan berkasih sayang kerana-Nya.


Zenki,
Teratak Talhah,
25200 Kuantan.
8.44am 9 Ramadhan 1430H
30 Ogos 2009.

No comments:

Masa Itu Nyawa