Saturday, July 4, 2009

Tiga Perkara Membuah Cinta


Salam al-Kelantani, 12 Rejab 1430 H, 5 Julai 2009

Sekadar perkongsian ringkas sebelum dilupakan. Sekarang saya dalam ruang masa persiapan untuk minggu orientasi pelajar baru bagi UIA Kuantan.

Pihak jawatankuasa juga menganjurkan beberapa pengisian buat memenuhkan ilmu di dada dan memberi peringatan buat semua jawatankuasa ditengah kekalutan dan kesibukan persiapan menyambut adik-adik baru.

Alhamdulillah, kami baru sahaja mendengar peringatan ringkas dari akh Khairul Fikri bin Sebri (jawatankuasa Disiplin dan Ibadah) yang mengingatkan kami tentang buah cinta yang selalu kita lupakan.

Saya dan anda semua tentu telah tahu akan perkara ini, tapi jarang sekali sempat untuk membuat dan terus beristiqamah dengannya.

Buah cinta tersebut adalah buah mulut dari Baginda Nabi S.A.W yang memberitahu kita, bahawasanya ada 3 amalan yang jika kita membuatnya pasti kita dicintai ALLAH.

Pertama, bangun ditengah malam untuk berzikir dan bersolat malam (1/3 malam, itu yang terbaik). Semua sudah tahu dan maklum, tapi berapa ramai kita yang mahu dan usaha? (Akan diperincikan dalam entri selepas ini berkaitan solat malam ini).

Kedua, bersedekah dengan tangan kanan sehingga tangan kiri tidak menyedarinya. Bermakna, kita sedekah dengan ikhlas semata-mata kerana ALLAH dan bukan untuk mendapat pujian daripada manusia. Ini tak, replika cheque sumbangan pun dah harga RM500.. jadi dimana kesucian dan kemurnian niat amalan kita?

Ketiga, berjihad di jalan ALLAH tanpa mengundurkan tapak kaki dari medan jihad. Disini, lapangan jihad terbuka luas. Dalam minggu orientasi, dalam politik, dalam ekonomi, dalam pengajian dan dalam semua perkara memerlukan jihad. Sebab itulah Islam ini syumul dan tidak boleh dibahagi-bahagikan.

Semua perkara memerlukan kesungguhan untuk membuahkan hasil yang memuaskan hati. Dan jihad melawan hawa nafsu adalah perkara penting, untuk kita melaksanakan tiga perkara ini bagi membuahkan cinta kepada ALLAH..lalu terus menuju matlamat yang satu dari berbagai-bagai jalan dan pendekatan.

Jalan yang pelbagai adalah amal yang pelbagai dan penuh variasi yang dipandu oleh pemandu yang ikhlas, ya'ni hati. InsyaALLAH kita kan mampu sampai ke destinasi cinta yang satu. KEREDHAAN ALLAH...

Abu Fateh,
Perpustakaan Indera Mahkota,
25200 Teratak Talhah,
Kuantan.

No comments:

Masa Itu Nyawa