Thursday, July 30, 2009

Muhasabah (1) Pasca Penulisan Anak Muda

Menulis juga memerlukan makanan tambahan seperti Vitamin Muhasabah


Bermula dari matrikulasi lagi saya telah 'diarahkan' supaya mempunyai blog sebagai satu wadah dan tempat menyampaikan idea dan berkongsi pengalaman hidup.

Mengundur lagi dua langkah ke belakang, saya berada di Maahad Muhammadi Lelaki. Sejarah hidup sebagai seorang pelajar yang biasa-biasa sahaja, tidak punya keazaman dan kesedaran yang sepatutnya. Tidak pernah terfikir atau terbayang untuk menulis seperti rakan-rakan yang sememangnya berbakat. Bagaikan anak muda yang tidak punya arah yang jelas, sekadar membuat matlamat mengikut situasi setempat. Tanpa jangkauan masa yang tepat.

Menaiki satu anak tangga. Menuntut ilmu di Darul Quran. Bagaikan kejutan budaya bertemu rakan-rakan baru yang hebat dari segi aktivisme dan akademik. Semua mereka adalah pelajar terbaik sekolah. Bahkan ramai antara mereka merupakan pelajar terbaik negeri masing-masing. Ada juga dalam senarai pendek 10 pelajar terbaik Malaysia. Wah, siapalah aku..

Pernah seniorku, abang Murshidi Mustapha berpesan kepadaku; "ana malu pegang badan dakwah ni dengan akademik ana yang tak hebat pun ni. Sahabat-sahabat lain di KISAS, SMAP Kajang, Sheikh Malek, Tok Jiring dan sebagainya kebanyakan mereka adalah pengerusi persatuan merangkap pelajar terbaik sekolah. Siapalah ana ni.. (tribut buat abang Syidi yang sambung belajar kat Yaman sekarang)

Kelas Bahasa Inggeris bersama Mr Yusof (bukan Sir Yusof,selepas ditegur teman salah penggunaan bahasa) di Darul Quran banyak mengubah corak pemikiran dan pola hidupku. Matlamat diperjelas dan diperincikan. Pengalaman lalu yang banyak cuba digabung jalin dan susun atur buat hidup yang lebih baik. Ayat senior di Darul Quran yang menjadi pembakar diri dari dulu sampai sekarang "awaklah perosak organisasi! Pemusnah kesinambungan warisan kebaikan!". Ayat pedih yang sememang menjadi ubat buat diri yang sering lupa dan terleka ini.

Sekadar mengejar bayangan sendiri dalam akademik. Menjadi terbaik di antara seluruh pelajar terbaik dari seluruh Malaysia belum memberikan ketenangan buat diri. Darul Quran sekarang bagaikan memori silam yang mungkin indah dan manis buat mereka yang bersusah payah menuntut segala jenis ilmu. Mungkin juga mimpi buruk dan suatu kebodohan buat insan seperti diri ini yang terlupa akan kewajipan implimentasi ayat-ayat yang dihafal.

Melepasi fasa Darul Quran dengan gemilang di atas pentas dan kertas. Bukan di atas pentas Iman dan Taqwa. Mohon di ampun dan di maaf segala kekhilafan diri.

Memasuki pusat matrikulasi dalam keadaan yang tidak yakin dan tidak stabil. Mencari arah diri dan kemasukan diri dari kekuatan Ilahi. Aku tenggelam dan kelam dengan kejutan kali kedua. Perasaan hati bagaikan Kaab bin Malik selepas dimaafkan Rasulullah. Moga ikhlas ini tidak tercemar dengan unsur sampingan. Mengejar ikhlas dengan meninggalkan yang dicintai. Pedih, perit, sakit, tangis dalam senyum, terasing, dan rendah diri melampau menguasai diri.

Kesihatan terjejas, mengeheret prestasi akademik. Aku lemas dalam mengejar ikhlas. Benarlah hidup ini bagaikan roda, sekejap di atas, sekejap dibawah.

Alhamdulillah, mula belajar memahami erti ikhlas, pengorbanan dan komitmen dalam kepayahan dan keperitan hidup di kampus PJ. Galakan supaya menulis dan mempunyai blog masih belum diendah. Sekadar mengikuti kursus penulisan dan blog seliaan persatuan.

Meninggalkan PJ dengan memori seribu luka dari berpersatuan, aktivisme dan akademik. Aku bagaikan insan hampa dan kosong membawa diri menuju Kuantan.

Mula mencoret diari sedari memasuki Darul Quran. Mencorak hidup dan hala tuju. Tapi penulisan di dalam diari tidak cukup untuk bekalan ku kelak.

Kesempatan yang ada semasa bercuti di semester pertama tahun pertama kampus Kuantan membuahkan hasil. Membuka ruang buat tangan ini berpencak dimedan maya. Mencari diri merumus formula kehidupan.

Alhamdulillah terhasil 'Hidup Biar Bermakna'. Manifestasi semangat seorang teman (Wan Safwan Wan Salleh) yang gigih memaknakan diri mencari redha ALLAH. Tribut buat Safwan, Universiti Perubatan Mansurah.

Menarik tirai muhasabah (1) dengan mengingat kembali target ku untuk membaca al-Quran sekurang-kurangnya satu juzuk setiap hari. Semoga semangat dari 'aku janji' dengan ALLAH di suatu pekan di hulu Selangor suatu ketika dahulu terus mekar dan subur buat kebaikan seluruh ummat Muhammad dan anak muda ini yang menulis dan menaip buat bekalan anak-anak akhirat kelak.

Tadi diskusi bersama sahabat-sahabat usrah. Akhir kalam ku akhiri dengan harapan.
"moga kita mula belajar merindui kampung kita di akhirat..moga kita kan betul-betul merindui kampung akhirat tersebut.."

Masa Itu Nyawa