Thursday, July 16, 2009

Magnet Hati Bersama Faiz Kamaruddin - Tribut Buat Semua Yang bergelar Insan Muslim


Faiz Kamaruddin bersama teman-teman Hawariyyun nya dari kiri (berdiri)Iqbal, Safwan, Shahril, Badiuzzaman,Muhammad dari kiri (duduk) Barra', Fuad,Zaki dan Azhan.
Soff Jundullah (insyaALLAH) bimbingan ustaz Abdul Mannan. Dari kiri (berdiri), Aiman, Ibrahim, Azrol, Nuruddin, Fauzan dan Faris. Dari kiri (duduk), Sharif, Asyraf, Abdul Rahman dan Saiful.


" Kepada semua ex-Maahad tahfiz Johor, Pertemuan esok dibatalkan" - SMS pertama dari Faiz.

Saya terfikir sejenak lalu tergelak sendirian dengan gurauan dari teman sebilikku yang juga merupakan lepasan Darul Quran (DQ) Kuala Kubu Bharu, Persijilan Tahfiz 05/06 ini.

"eh, silap hantar ke budak dq..sorry.." - SMS kedua dari Faiz

Belum habis lucu hati pertama dikejutkan lagi dengan SMS kedua. Saya tersenyum sambil berfikir lebih dalam. Lalu terus pergi ke petak bilik Faiz untuk berbual bicara.

Kemudian balik ke petak bilik saya kembali.

"bermula hari ini saya mengumumkan saya keluar dari ex-dq..segala jasa baik sahabat semua saya ucapkan terima kasih.." - SMS ketiga

Ada lagi ayat-ayat yang tidak saya masukkan secara keseluruhannya dalam SMS ketiga ini.

Wah, ini dah kes makan hati betul. Segalanya bermula bila ada sedikit salah faham bila saya menyampaikan SMS memberitahu pembatalan perjumpaan antara generasi ke-6 dan generasi ke-7 pelajar program persijilan Darul Quran yang berada di Kuantan.

Faiz dengan nada bergurau terasa menyatakan, " yelah, aku bukan DQ. Aku orang tak kenal pun, tak ingat pun. Siap orang ingat aku ni orang UMNO lagih masa kat DQ.." (sikap pre-judgemental yang perlu dibuang terutama buat mereka yang bergerak dalam gerakan)

"Eh-eh, aku lagilah bukan DQ..aku, Zaki, Izzat nga Azrol DS jer." Saya menjawab cuba bermain kata dengan Faiz.

"mende DS tuh?"

" DarusSakinah, kitorang belajar kat tempat Qiraati dan pusat bimbingan Iqra' jer.." . Cuba untuk menyejukkan hati Faiz dengan bergurau perkara yang benar. Bukan bergurau dengan penipuan.

"yelah tuh yelah tuh."

"hehe, rileks syekh rileks.."

Magnet Hati

Setiap hati yang hidup pasti mempunyai potensi menerima dan menolak.Bila tidak memiliki bererti ia telah kehilangan dirinya, kehilangan rahsia wujudnya. la seperti pohon kering yang daun-daunnya berguguran, tidak menghijau dan tidak hidup.

Atau seperti pohon yang tidak berbuah,hidup tapi seperti mati. la tidak punya pengaruh dalam kehidupan kerana hanya dapat mengambil tetapi tidak dapat memberi.

Seperti kisah sahabat kita di atas, Faiz hanya buat-buat mengambil 'menolak' sahaja menyebabkan kita melihat seolah-olah Faiz berada dalam posisi yang sememangnya menolak tanpa mahu 'menerima' hakikat bahawasanya dia adalah salah seorang dari bekas pelajar DQ.

Jika persoalan yang dikupas oleh Syeikh Abbas as-Sissi dalam kitabnya at-Thoriq ilal Qulub (Jalan Menuju hati@ Bagaimana Menyentuh Hati) membawa perumpamaan dari kisah bahawasanya jika seorang hamba itu rapat dengan ALLAH, berkobar-kobar dan menyala jiwa dengan cintakan ALLAH, pasti dia mampu mengharu birukan dan melunakkan jiwa manusia lain kepada ALLAH. Lalu mengikat hati-hati yang tertawan.

Bila ikatan harmonis yang dipanggil kemanisan ukhuwwah ini mampu dirasakan oleh mereka-mereka yang terpilih, disitulah hati-hati ini berubah menjadi 'magnet' yang mampu menarik ruh dan hati yang lain jua.

Yang mampu merasakan kemanisan ini hanya sedikit cuma.

Sementara orang-orang yang kering hatinya dan berkarat jiwanya, telah Allah
nyatakan:

("Kemudian setelah itu hati kalian menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada sungai-sungai yang mengalir darinya, dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air darinya, dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari yang kalian kerjakan." (Al-Baqarah: 74)

Ayat ini telah menjelaskan bahawa batu itu sensitif. Bahkan ia meluncur jatuh
kerana takut kepada Allah.

Tetapi kita tidak memiliki peralatan yang dapat membuka rahsia, bagaimana batu itu dapat sensitif. Namun kita yakin (melalui ayat) tersebut bahawa ia memang sensitif, takut, dan melekat satu sama lain kerana takut-nya kepada Allah.

Jika batu yang dikategorikan sebagai makhluk 'jamadat' (tidak bernyawa, tidak bergerak dan tidak bertumbuh) pun takutkan ALLAH. Bagaimanakah dengan kita yang dikurniakan nyawa, mampu bergerak, dan bertumbuh lagi dikurniakan akal ini tidak mampu untuk berfikir,berzikir dan beristighfar takutkan ALLAH selalu?


'Manusia' itu Pelupa

Jika digabungkan cerita teman kita, Faiz dan huraian dari Syeikh Abbas as-Sissi, jelaslah kesilapan semua kita melakukan kesilapan tanpa disedari dari hari ke hari, minggu ke minggu ke minggu, bulan ke bulan sehingga membuahkan suatu sikap dan perangai yang terlalu amat sukar di ubah.

Faiz bagaikan terasa dengan ukhuwwah sahabat-sahabat kerana tidak dimaklumkan perjumpaan yang sepatutnya dihadiri beliau, tetapi hanya dimaklumkan akan pembatalan program yang dia tidak pernah dimaklumkan.

Puncanya amatlah mudah. Apakah faktor persamaan yang dimiliki oleh mereka yang pernah belajar di mana-mana tempat menghafal al-Quran?

Jawabnya pastilah mereka menghafal al-Quran yang satu, yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibril.

Namun, daya penarik yang paling kuat ini, yakni persamaan dalam menghafal dan menjaga al-Quran semakin lama makin di abaikan. Inilah punca daya penarik dan magnet ukhuwwah yang wujud makin hambar dan bagaikan hilang tarikan terus dari sanubari mereka-mereka yang pernah menghafal al-Quran tak kira bidang pengajian dan kerjaya apa yang mereka ceburi selama ini.

Kita lebih berminat menonton wayang di panggung dari duduk berbicara wayang akhirat yang dipertontonkan dalam al-Quran.

Kita lebih berminat meluangkan masa membuat 'window shopping' di shopping complex bersama-sama teman dari mengajak teman-teman yang tidak menghafal dan kurang mampu membaca al-Quran untuk betul-betul 'shopping' pahala dari setiap butir huruf kalimah yang dibaca dari al-Quran.

Kita lebih sanggup meluangkan masa berjam-jam melayan 'dota' untuk mempertajamkan seni strategi berperang dimedan 'jihad'..dari meluangkan masa untuk cuma sekadar untuk membaca surah al-Mulk sebelum tidur sebagai perisai dalam peperangan didalam kubur kelak.

Kita lebih berminat membuat telahan awal dan melulu terhadap teman-teman di sekeliling berbanding mendekati dan memahami kondisi sebenar teman yang menyepi.

Bukan mereka yang ditaklifkan untuk menghafal al-Quran sahaja yang terlupa, bahkan kita semua manusia sememangnya bersifat pelupa. Perkataan manusia berasal dari kalimah arab, 'nasiya' yang bermaksud lupa.



Kita lupa asal-usul. Kita lupa teman-teman. Kita lupa untuk duduk berbicara berbincang.

Pokoknya bukan semata-mata kita melupakan semua perkara yang disebutkan diatas. Tetapi hakikatnya kita dilupakan oleh ALLAH akan semua perkara-perkara penting untuk mengekalkan tarikan magnet hati antara sesama muslim.

Kenapa ALLAH melupakakan kita? Puncanya kita yang melupakan ALLAH.

Apa yang kita terlupa tentang ALLAH? Solat lima waktu masih terjaga, zakat telah dan masih dikeluarkan, haji telah dan akan dikerjakan lagi, puasa sentiasa diamalkan. Apa lagi yang tak cukup? apa lagi yang kita lupa?


Hakikat Syahadah

Kita melupakan tuntutan dan hakikat dua kalimah syahadah yang lancar dituturkan lidah kita. Setiap hari sekurang-kurangnya 9 kali didalam solat kita melafazkan dua kalimah syahadah didalam tahiyyat.

Kalimah itu menuntut kita membenarkan penyaksian kita kepada ALLAH dan Nabi Muhammad dengan melaksana dan mencegah segala suruhan dan larangan NYA.

Tapi, realiti hari ini menunjukkan kita tidak membenarkan tuntutan penyaksian kalimah syahadah kita dengan membuat apa yang dilarang oleh ALLAH dan mencegah apa yang disuruh olehnya.

ALLAH mengatakan tidak beriman kita kepadaNYA selagi mana kita tidak berhukumkan tentang segala masalah dan persoalan yang timbul dikalangan kita dengan menggunakan hukum-hakam yang disediakan oleh ALLAH. (rujuk tafsir surah an-Nisa' ayat 65)

Bukan persoalan saya, awak, atau kita menghafal ayat-ayat ALLAH atau pun tidak yang perlu dipersoalkan. Tapi persoalan implementasi ayat-ayat suci yang kita baca sehari-hari. Sudahkah sebati dengan seluruh rongga amal perbuatan kita atau masih sekadar berlegar di antara dua bibir bagaikan burung tiong?

Jika ayat-ayat cinta dan hikmah dari ALLAH ini terpinggir ke tepi dikalangan kita, takut-takut ALLAH akan meminggirkan kita dari diselamatkan dari azab neraka NYA kelak.

Buat yang menghafal al-Quran, perkemaskan jagaan kita dengan banyakkan membaca dan cuba untuk mengamalkan segala apa yang kita baca dan hafali.

Buat yang langsung tiada rasa cinta kepada al-Quran, usahlah merasa terpukul. Kerana pukulan malaikul-maut kelak pasti tak tertanggung dek kita semua.

Buat yang sibuk dengan pengajian dan kerjaya serta keluarga, tambahlah agenda al-Quran dalam hidup kita. Moga kesibukan kita seiring dengan tuntutan al-Quran dan Hadis menuju 'hidup' abadi yang tiada 'mati' lagi.

Moga magnet hati kaum Muslimin kan bergegar kembali menarik hati-hati insan menuju ALLAH.

-tanda hati buat semua dan 'roommate' ku Faiz-

Abu Fateh,
Teratak Talhah,
Indera Mahkota,
25200.

2 comments:

Mohd Nuruddin Bin Mohamed said...

Jika teman-teman yang baik telah pergi kepada kehidupan abadi sebelum sempat saya mengucapkan sayang, moga teman yang seorang ini tetap di hati atas dasar cinta anak-anak akhirat. Salam sayang buat semua, Umi, abah, dan seluruh teman-teman satu ikatan hati dibawah satu akidah :)

Moga Lafaz shahadah menjadi saksi bukti kebenaran iman dan sayang kita kepada yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun..

fiey_ahmad said...

Pohon yang tak berbuah juga ada kesannya untuk sistem ekologi yang didiaminya..masakan, Allah menjadikan menjadikan sesuatu itu sia-sia..Sehingga ke hujunh hayat sehinggalah putus kehidupannya, pasati ada kesannya bagi insan yang berfikir..

Kisah magnet hati yang menarik.

Terkesan di hati, untuk ukhwah yang kita sandarkan atas nama Tuhan..Tanpa mengira dari mana latar belakangnya, apa pemikirannya, apa gayanya..

yang kita perlu tahu, corak persahabatan diwarnakan oleh hati2 kita, jangan mengharapkan yang terbaik, tapi berusahalah menjadi yang lebih baik untuk saudara dan sahabat kita.

salam mencelah..terima kasih atas ingatan..

Masa Itu Nyawa