Friday, July 10, 2009

Antara Bakal Profesional, Doktor dan Penyapu Sampah; Masih Adakah Cinta?






Salam al-Kelantani, 17 Rejab 1430 H, 10 Julai 2009

Alhamdulillah, tamat sudah minggu taaruf 2009/2010 untuk sesi ambilan julai ini.

Sedikit perkongsian perbualan saya dengan seorang pekerja kontrak UIA sewaktu menaikkan kertas-kertas kempen solat dan membaca di Mahallah Talhah di Indera Mahkota dua.

Bersama Seorang Tukang Sapu Sampah

"Dik, budak-budak ni tak pandai jaga barang-barang milik masing-masing ye"

"Nape makcik?"

"takdelah, baju-baju baru lagi pun dah tinggal macam tuh je. Barang-barang lain pun elok-elok lagi, tinggal macam tu aje kalau dah taknak."

"Oh, budak-budak zaman sekarang memang macam tuh la makcik"

"takdelah, makcik teringat dulu-dulu masa kecik-kecik kami orang susah, nak dapat baju baru setahun sekali pun susah. Sebab tuh anak-anak makcik sekarang pun makcik didik biar diorang hargai barang sendiri biar sikit dan murah macammana pun."

"em, budak-budak ni tak pernah rasa susah..mungkin tak kenal apa erti 'susah' yang kita pernah rasa makcik.." Saya menjawab untuk melayan dan menenangkan hati makcik tukang sapu sampah mahallah Talhah ini dengan cuba untuk meletakkan diri ini ditempatnya.

"takdelah, baju-baju tuh makcik jumpa yang diorang tinggal tuh semua baru-baru lagi, dah dibuat jadi kain buruk dek diorang. Kalau kain memang buruk dan koyak tuh lainlah"

"budak-budak tak reti susah cik..macam tuhla. Dah mak ayah pun tak pernah didik hidup susah, apa-apa yang diorang nak semua dapat. Sebab tuh dapat duit biasiswa banyak-banyak pun tak pandai hargai duit tu untuk buat amal dan simpanan masa depan."

"hmm..sedih makcik..ye lah makcik orang susah, tapi membazir tuh amalan syaitan kan? Makcik tak belajar tinggi-tinggi macam kamu semua.. Tapi makcik suka juga baca-baca risalah-risalah atau kempen-kempen kebaikan macam yang kamu duk buat ni. Tapi kalau dalam bahasa omputih tuh makcik tak faham sangatlah."

Tamat sebuah cerita.

Bersama Pelajar Perubatan

Sedang asyik mendengar taklimat dari salah seorang staff UIA, dikejutkan oleh kawan datang bercerita.

"tau tak dulu abe Aimir (bekas pelajar perubatan, merangkap senior gen2 persijilan Darul Quran, merangkap bekas Programme Manager Taaruf Week 08/09) pernah bidas budak-budak medik?"

tak tau, nape?

"Masa ada lawatan budak-budak DQ dan ada jugak masa minggu taaruf mu tahun lepas, ada budak medik baru masuk bila ada komiti tanya amik kos apa? budak tu jawab dengan agahnya, 'medikla, apa lagi??' "

pastuh?

"pastuh apa lagi, abe Aimir terus bidas, orang-orang bijak pandai takkan ambil medik. Hanya orang yang rajin je ambil medik. Kalau awak betul-betul pandai awak takkan ambil medik." Senyap satu dewan kena tempelak oleh pelajar tahun akhir perubatan yang penuh karisma.

Pengalaman Sendiri


Sudah berpuluh bertanya, kenapa tak nak ambil medik? Kenapa nak jugak Nursing? Kenapa tak ambil bidang Ilmu Wahyu? kamu tuh sesuai sangat jadi ustaz. Kenapa dan kenapa?

Kesemua persoalan sebegitu jarang sekali saya menjawabnya dengan patah perkataan melainkan dengan hanya menguntumkan senyuman buat sang penanya berfikir kembali akan soalan yang diajukannya.

Tukang Cuci Tandas dan Pelajar Universiti




Pernah saya melihat seorang pelajar merenung dengan tajam dan memaki seorang makcik cleaner hanya kerana tandas tidak dicuci dengan sebaik mungkin.

Peristiwa begini kerap kali berlaku terutama di pusat Asasi UIA Petaling Jaya. Bila tandas berbau dan tidak dicuci dengan sebaik mungkin, mulalah makcik-makcik cleaner yang dipersalahkan. Sedangkan, siapakah yang membuang segala sisa toksid kedalam mangkuk tandas? Kadang-kadang tak masuk ke dalam mangkuk tandas. Saya terfikir, adakah ini taraf orang yang akan kemudian harinya berkhidmat dalam bidang kesihatan dan kemasyarakatan?

Sifat Keakuan, Sistem Pembelajaran, Menuju Kebekuan


Jika masyarakat siswa belum mampu menterjemahkan setiap butir ilmu yang dipelajari di atas kertas ke dalam diri sebagai satu bentuk peribadi, siapakah yang harus dipersalahkan?

Mungkin juga sistem pembelajaran yang semata-mata berorientasikan peperiksaan menjadi punca? Atau didikan ibu bapa yang patut dipersalahkan? Atau guru-guru agama yang patut dipersalahkan?

Bila kacau keadaan, semua pihak harus bertenang dan merenung ke dalam diri masing-masing tanpa menuding jari kepada pihak yang lain. Renung dan selidiki apakah peranan yang kita telah lakukan untuk mengubah realiti hari ini?

Sememangnya sistem dan corak pembelajaran serta pengajaran banyak memainkan peranan membentuk peribadi. Namun, realiti hari ini menjelaskan sistem yang ada sekarang sekadar untuk melihat pelajar cemerlang dan TERBAIK di atas kertas, bukan di medan realitas.

Untuk itu, peranan besar siswa hari ini adalah untuk mengubah sistem yang ada hari ini sedikit demi sedikit supaya menjadi lebih baik dan dirasai kemanisannya oleh semua golongan tanpa mengira kasta.

Kemanisan Bekerja Sebagai Seorang Insan

Manis yang bagaimana? Apakah manis dan nikmat bekerja sebagai seorang tukang sapu? Sebagai seorang tukang cuci tandas? Sebagai seorang guru? Sebagai seorang pengarah hospital? Sebagai seorang jururawat? atau hanya dengan menjadi seorang doktor barulah kemanisan itu dapat kita rasai? atau dengan menjadi seorang pakar perubatan barulah sejuk perut ibu ayah kita?

Jika pembaca masih merasakan dengan hanya menjadi seorang profesional@ seorang doktor barulah kemanisan bekerja dapat dirasai, jelaslah saudara telah tertipu kemanisan ciptaan barat. Melihat kejayaan dari kacamata barat. Dan berfikir semata-mata dari jendela barat, bukan melihat dunia dari jendela akhirat.

Kita tertipu kerana di Malaysia realitinya tempat duduk kita didalam wad pun masih diasing-asingkan mengikut kasta-kasta tersendiri. Jururawat dengan biliknya sendiri, Doktor dengan biliknya sendiri, Tukang cuci dengan biliknya sendiri, tukang masak dengan biliknya sendiri, Pengarah Hospital dengan biliknya sendiri, lalu menghasilkan acuan KEAKUAN yang cukup kukuh, kental dan sukar sekali untuk dipecahkan.

Saya cukup suka pengalaman bekerja didalam Minggu Taaruf 2009/2010 bersama-sama semua sahabat berkumpul didalam dewan yang sama, bilik operasi yang sama, tempat makan yang sama,dan tempat tidur yang sama tanpa mengira awak adalah seorang Pengarah Program, seorang Program Koordinator atau seorang pengangkat makanan semata-mata. Disini kemanisan sebenar yang jarang sekali atau takkan mungkin kita rasai didalam realiti dunia perubatan dan masyarakat hari ini yang penuh dengan perbezaan pangkat dan taraf pekerjaan.

Kemanisan ini jua terserlah di medan-medan perang bila mana tiada lagi perbezaan antara bidang pekerjaan. Bilamana diwaktu rehatnya semua orang boleh duduk bersama bertanya khabar mengenai prestasi kerja masing-masing. Boleh saling kenal mengenali. Boleh meningkatkan kefahaman dan mutu kerja. (Rujuk buku ; Dari Beirut ke Jerusalem. Pengalaman Dr Ang Swee Chai, Felo Royal College of Surgeons, England)

Apakah Pekerjaan Terbaik?


Kalau seorang ayah mampu melihat realiti dunia dari jendela akhirat yang hak, alangkah indahnya. Pasti akan ramai lagi ilmuan dan cendekiawan yang lahir dari berbagai bidang ilmu dan disiplin ilmu yang pelbagai, bukan sekadar mahu menjadi seorang doktor atau jurutera atau jururawat atau seorang peguam semata-mata.

Hasilnya lihatlah bagaimana pandangan jauh seorang nelayan yang tidak mengongkong kebebasan berfikir dan meneroka anaknya lalu melahirkan Nik Nur Madihah yang mahu menjadi seorang ahli Fizik Islam. Dari ibunya yang bekerja sebagai seorang tukang sapu sampah mampu melahirkan anak yang cemerlang akhlak dan akademik, nah, apakah hanya anak orang-orang berada dan bangsawan sahaja yang mampu merubah dunia? (rujuk buku: Catatan Hati Nik Nur Madihah)

Sudut Pandang Akhirat


Dengan mengambil ayat ke 13 dari surah al-Hujurat yang bermaksud "wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu berpuak-puak dan berkabilah-kabilah untuk kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu disisi ALLAH adalah yang paling bertaqwa"..

Saya tinggalkan komentar ini dengan dua lontaran persoalan dari saya sendiri dan dari Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

-Kita memandang keji dan hina orang-orang yang bekerja mencuci najis, menukar lampin, menukar cadar, membersih tandas, menyapu sampah. Tapi, boleh tak kita beri jaminan yang kita akan masuk Syurga lebih dulu dari mereka atau mereka yang masuk syurga tanpa hisab sedang kita tersekat di neraka berjuta tahun lamanya..?

-Kita jadi orang besar ke, YB ke, jangan rasa besar sangat..mana tahu driver kita, tukang kebun kita tuh yang lebih tinggi Taqwa dan Imannya dari kita..tak malu ke kita akhirat kelak?

Abu Fateh,
Laptop Kak Ina,
16150 Kubang Kerian,

1 comment:

fiey_ahmad said...

salam ziarah ..

Semoga ramai yang mengambil ibrah dari isu yang dibicarakan..kupasan menarik yang patut dicerna dengan baik oleh pembaca.

Tak kira siapa kita di dunia, soalnya, siapa kita di sisi Dia.

Manusia selalu risau dinilai oleh mata manusia, sedangkan Penilai sebenar senantiasa dekat membuat penilaian..

Wallahua'lam

Masa Itu Nyawa