Monday, April 13, 2009

Harapan Demi Masa Depan


Salam al-Kelantani, 16 Rabiul akhir 1430H, 12 April 2009


Patah tumbuh hilang berganti, Pemimpin datang dan pergi. Tanggal 3 April 2009 merupakan hari baru yang penuh dengan harapan gemilang buat seluruh warga Malaysia. Belum terlambat rasanya saya mewakili suara mahasiswa, suara anak muda menghulurkan sekalung tahniah buat Dato’ Seri Najib Tun Razak di atas pelantikan Dato’ sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, menggantikan Perdana Menteri ke-5 Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi.


Sebelum mengorak langkah mengatur bicara dengan lebih jauh, suka saya memetik kembali kata-kata Dato’ Seri didalam ucapan sejurus selepas mengangkat Sumpah sebagai Perdana Menteri ke-6 yang lalu.


Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional. Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik.”


Melihat kepada realiti dan sejarah hari ini, mana-mana pemimpin yang baru naik ke pentas kepimpinan, pasti mempunyai perancangan tersendiri untuk memberi impak perubahan dan meninggalkan kesan hasil kepimpinannya. Jika Tun Abdullah dengan slogan : “ bekerja bersama saya, bukan untuk saya” mempamerkan kesopanan dan ketinggian budi dalam membangunkan negara dan bangsa Malaysia. Sekarang, Dato’ Seri pula membawa semangat: “Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.” Semangat yang positif mencerminkan penuturnya yang positif dengan masa depan kebajikan rakyat yang dipimpin.


Orang yang tidak belajar dari sejarah bakal mengulangi kesilapan lampau. Satu kenyataan yang pasti disedari dan dititik beratkan oleh Dato’ Seri. Jika dilihat kekurangan serta kelompongan barisan kepimpinan yang lalu, sudah pasti ianya menjadi salah satu kayu ukur pembaikan yang amat penting untuk diberi perhatian. Jika mahu mengambil contoh kepimpinan yang baik, allahyarham ayahanda Dato’ Seri adalah contoh terdekat. Namun, dalam memberikan yang terbaik kepada yang dipimpin, contoh utama dan pertama sepanjang zaman sudah pasti Baginda Rasulullah yang tiada bandingan menjadi rujukan. Jarang sekali pemimpin masa kini mahu mengambil contoh terbaik ini sebagai teladan. Lebih ramai yang menidakkan kepimpinan terbaik ini demi kepentingan tertentu.


Walaupun begitu, sebagai mahasiswa yang dididik dengan budaya keilmuan, mencari kebenaran dan menyebarkannya adalah suatu tanggungjawab. Pengetahuan tentang Muhammad bin Abdullah sebagai manusia yang paling berpengaruh mengatasi segala tokoh-tokoh keluaran timur mahupun barat sepanjang zaman boleh dirujuk kepada karya Michael H. Heart didalam bukunya “The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History”. Sebagai Perdana Menteri, pemimpin utama sebuah negara, bukanlah selayaknya Dato’ Seri Najib Tun Razak ditunjuk ajar oleh seorang dua budak yang baru belajar. Namun, teladan karismatik terhebat sepanjang zaman membuktikan, sanggup belajar dengan siapa sahaja adalah asasnya. Jika tidak, takkan lahir sistem-sistem jabatan yang kita warisi hari ini dari Khalifah Umar al-Khattab, hasil didikan manusia agung, Muhammad al-Amin.


Di awal-awal tampuk pemerintahan, semuanya tampak manis. Umpama pengantin didalam tempoh berbulan madu, segala-galanya penuh dengan janji indah. Pembebasan tahanan ISA, penarikan balik larangan penerbitan sementara bagi DUA surat khabar, dan proses kajian semula terhadap undang-undang ISA adalah antara hantaran penuh makna Dato’ Seri Najib hulurkan.Jika sebuah perkahwinan, cabaran sebenar bermula selepas tamatnya fasa berbulan madu dengan kedatangan orang-orang baru dalam keluarga, saat itulah wajah sebenar si suami bakal terserlah. Dari itu, dalam fasa kepimpinan, wajah sebenar seorang pemimpin dapat dilihat ketika mana diuji dengan mehnah dan tribulasi dari berbagai arah dan aspek. Dari kaca mata bakal pelapis pewaris kepimpinan negara, mahasiswa memberikan harapan yang optimis semoga Dato’ Seri Najib tegar dengan watak seorang suami yang kekal dengan kemanisan dan ketulusannya dalam menunaikan janji.


Sebelum merehatkan pena ditaman pembentukan budi dan ilmu ini, penulis mewakili suara mahasiswa suka sekali memetik manisnya buah kata Dato’ Seri Najib akan aspirasinya untuk membangunkan potensi mahasiswa.


potensi golongan anak muda akan kita bangunkan setinggi-tingginya. Kita percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan.Maka dengan itu, pada hari yang bersejarah ini saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat.”


Semoga dengan janji yang satu ini, Dato’ Seri Najib bakal mewarnai pentas pencak pemerintahan yang sebenar-benarnya yang diharapkan oleh seluruh rakyat jelata segenap lapisan. Mewarnainya dengan warna-warna kebajikan yang terjamin, keadilan yang tertegak, ketulusan tak bertopeng, keberhasilan yang menyeluruh, kebaikan untuk semua, kepimpinan yang diharap.


Suara mahasiswa mewakili suara anak muda, sentiasa teguh dibelakang pemimpin yang adil.Pemimpin adil, pemimpin disanjung. Pemimpin zalim, pemimpin ditanggung. Ditanggung rakyat derita kezalimannya. Akhirnya, mewakili suara seluruh mahasiswa, melahirkan rasa optimis ke arah sebuah pemerintahan yang berjiwa rakyat, merasai jerit perih derita rakyat, merasai lapar dahaga rakyat marhaen, dibawah kepimpinan Perdana Menteri ke-6, Dato’ Seri Najib Tun Razak. Mulakanlah dengan mengkaji semula keberkesanan AUKU. Moga potensi generasi pelapis terus menyinar dan gemilang demi masa depan.


Semoga ALLAH permudahkan urusan dengan rahmat dan petunjuk taufiq hidayah-Nya.


0539a.m 11/4/2009

25200 Indera Mahkota

5 comments:

Mohd Nuruddin bin Mohamed said...

didalam = x
di dalam = betul
sebab menunjukkan tempat

selain tu mungkin hok ni typing error..selepas penanda wacana atau tanda bacaan lah..kita space bar
ada 1,2 tempat dalam artikel tu. dah baiki balik.
oh ..
lagi satu, pemerangganan yang baik biasanya akan lebih kelihatan stabil antara satu sama lain.
dan setiap perenggan biasanya akan ada 5 atau 6 baris sahaja.

tapi ni hukum mencantikkan sahaja dan juga atas dadasr kebiasaan

ise_sekoda: secara umumnya tulisan ini cuba bersikap menyindir atau menyampaikan sesuatu secara tersirat.
sebab itulah di awalnya banyak ayat pujian dan di tengah serta akhirnya banyak ayat pujuk.
sebagai sebuah tulisan dari seorang anak muda, isi yang terdapat dalam tulisan ini sudah boleh dibaca dan diagak dari awal lagi.

tapi itulah kelemahannya apabila sesebuah tulisan diukir dengan keutamaan terpaksa diberikan kepada uslubnya, bukan isinya.
isinya ialah kita nak PM berubah dan lakukan sesuatu pembetulan terhadapa apa yang ada pada hari in.
tapi ayatnya jadi lembut dan jinak apabila diolah dengan banyak ayat pujian serta pujukan.
Lalu kebenaran yang ingin disampaikan jadi samar serta eksklusif dan hanya mampu dihadam oleh golongan cerdik pandai sahaja.

bagaimana dengan muda mudi yang kurang pandai? mereka semestinya lebih suka ayat yang sorohah.

ise_sekoda: buleh doh tu kot
sebetulnya kita memang ambil pendekatan hikmah bilmauizoh..cuma mungkin alhikmah di sini boleh kita pertingkatkan

sebab kita nak meraikan banyak tempat dan orang..
lalu kebenaran jadi tawar

cuma bila mengenangkan semua yang nak dihantar tu, kira ok lah..

--Komen dari Nurul Hisyam Mohamed, Tanta.

Mr W. A. A. said...

"pelusuk" or "pelosok"?

anyway, good article. you're so eager to hone your writing skills. honestly, i'm impressed!

keep up the good work.

ana_jundullah said...

salam ziarah. syukran atas nasihat sebelum ni

AMIROE "THE WISE" said...

mantap la abg din sekarang ye...layarilah alamat blog baru ana http://pesenku.blogspot.com...

AMIROE "THE WISE" said...

pembetulan : http://pesenkuok.blogspot.com...

Masa Itu Nyawa